KOTA SAMARAHAN: Polis memandang serius tindakan empat lelaki yang cuba membakar sebuah stesen minyak di sini, dengan melemparkan bom petrol tengah malam semalam.
Ketua Polis Daerah Samarahan, Deputi Superintendan Lee Chong Chern ketika mengesahkan kejadian memberitahu, pihaknya menerima laporan kejadian sekitar jam 11.02 pagi tadi.
“Kejadian berlaku pada jam 12.05 tengah malam semalam dan segera dipadamkan oleh pekerja stesen menggunakan alat pemadam api jenis debu, yang terletak berhampiran.
“Tiada kemalangan jiwa dan kemusnahan besar dilaporkan,” katanya lagi.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya dimaklumkan tentang kejadian tersebut sekitar jam 12.07 tengah malam.
“Sebuah jentera dan 11 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Kota Samarahan segera diatur gerak ke lokasi.
” Tiba 10 minit kemudian, pasukan mendapati keadaan telah terkawal, dan pasukan hanya melakukan pemeriksaan lanjut.
“Kita memuji kecekapan serta tindakan pantas pekerja di stesen minyak itu yang berjaya mengelak keadaan menjadi bertambah buruk.
Katanya, siasatan forensik mendapati kebakaran melibatkan 10 peratus pada bahagian luar satu unit pam minyak di stesen tersebut.
Chong Chern menambah, kes disiasat di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api atau bahan letupan.
“Kami masih mencari suspek dan menyiasat motif kejadian.
“Tiada tangkapan dilakukan setakat ini,” katanya. — Sarawakvoice