KUCHING: Polis Kuching berjaya menahan seorang lelaki berusia 33 tahun bagi membantu siasatan kes liwat seorang remaja 13 tahun di Jalan Demak di sini, dua hari lalu.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Abang Ahmad Abang Julai ketika mengesahkan penangkapan itu berkata, lelaki terbabit yang juga seorang penganggur berasal dari Samariang.
“Kita juga memburu rakan subahatnya ketika melakukan jenayah tersebut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching di sini hari ini.
Dalam insiden yang berlaku pada siang hari tersebut, suspek menahan remaja tersebut di tepi jalan dengan menyamar sebagai polis.
“Dia kemudiannya membawa mangsa ke dalam belukar berhampiran sebelum bertindak meliwatnya, sebelum melarikan diri.
“Mangsa kemudian memberitahu ibu bapanya, yang kemudian membuat laporan polis.
Kata Abang Ahmad lagi, akibat kejadian tersebut, mangsa yang dirawat di Hospital Umum Sarawak mengalami trauma yang agak teruk.
“Siasatan awal kita mendapati suspek tidak memiliki sejarah lampau berkaitan jenayah seks, tetapi diburu polis kerana jenayah narkotik.
“Kita menganggap kes ini berjaya diselesaikan dan kita sedang menyiasat kes ini dari pelbagai sudut,” katanya lagi. — Sarawakvoice