KUCHING, Mac 19: Polis Sarawak terus menggempur pusat perjudian haram di negeri ini dengan melancarkan 40 serbuan berasingan pada minggu lalu.
Hasil serbuan yang dilakukan mulai Mac 12 hingga 18 lalu, polis berjaya memberkas 55 individu selepas disyaki terlibat dalam kegiatan judi haram berkenaan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Datuk Dev Kumar berkata, kesemua serbuan itu dilakukan di daerah Limbang, Sarikei, Sri Aman, Kota Samarahan, Bau, Miri, Sibu, Bintulu, Saratok, Meradong, Padawan dan Kuching.
Menurutnya, daripada 55 individu yang dicekup itu, 28 merupakan lelaki, manakala selebihnya adalah wanita termasuk seorang warga asing.
“Polis telah melakukan 34 serbuan ke atas premis menjual nombor haram, lima serbuan di pusat judi siber dan satu di pusat pertaruhan judi.
“Hasil serbuan, polis telah merampas wang tunai RM1,302 dipercayai hasil judi siber dan sejumlah RM10,824 disyaki hasil penjualan judi haram,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama, Dev memberitahu,pelbagai peralatan yang disyaki digunakan untuk melakukan jenayah berkenaan seperti telefon bimbit, mesin cetak mudah alih, kalkulator, kertas pertaruhan dan peralatan tulisturut dirampas.
“Kes tersebut disiasat mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Akta Pertaruhan 1953,” kata Dev lagi. — DayakDaily