IPOH: Versi terkini model Proton Saga yang baharu dilancarkan Selasa lalu menerima tempahan memberangsangkan sebanyak 500 unit sehari.
Pengarah Pemasaran PROTON, Cheng Seng Fook, berkata tempahan menggalakkan bagi model sedan ikonik Malaysia itu dipacu penawaran harga di bawah RM40,000 seunit selain pelbagai fungsi menarik yang pertama dalam kelasnya.
“Proton Saga 2019 diterima baik oleh rakyat Malaysia dengan pelanggan utama kita adalah pembeli pertama sama ada graduan atau pun yang baharu bekerja.
“Selain harga yang amat kompetitif, Proton Saga baharu juga menawarkan rekaan menarik dan prestasi enjin yang baik untuk sebuah sedan permulaan segmen A,” katanya kepada media pada sesi pandu uji Proton Saga di sini, hari ini.
Seng Fook berkata, penerimaan baik model Proton Saga juga turut dibantu oleh peningkatan tahap keyakinan pelanggan kepada jenama Proton sejak model kenderaan utiliti sukan (SUV), Proton X70 diperkenalkan Disember tahun lalu.
“Kita dapati pelanggan mula menerima secara positif untuk model Proton dan ia banyak membantu meningkatkan tahap keyakinan pelanggan untuk barisan model keluaran kami,” katanya.
Selasa lalu, PROTON melancarkan Saga 2019 yang ditawarkan pada harga antara RM32,800 hingga RM39,800 seunit.
Versi terbaharu model ikonik dan terlaris PROTON itu dilengkapi dengan gaya baharu, kotak gear automatik empat kelajuan dan ciri pintar pertama di dalam kelasnya yang bukan saja membezakannya daripada pesaing, tetapi turut meningkatkan nilainya.
Ditawarkan dengan tiga varian iaitu Saga Standard MT, Standard AT dan Premium AT, ia masing-masing ditawarkan pada harga bermula RM32,800; RM35,800 dan RM39,800.
Saga 2019 diberikan rekaan terkini, namun masih mengekalkan identitinya dan pada masa yang sama meletakkannya ke barisan model Proton yang lain.
Pada bahagian luar, Saga 2019 dipasangkan dengan bampar hadapan baharu dan lebih agresif bersepadu dengan lampu nyalaan siang dengan bahagian gril turut mempunyai corak ‘infinite weave’ yang mula diperkenalkan melalui model Proton X70 serta Iriz dan Persona 2019.
Menjengah ke bahagian dalaman pula, perubahan paling ketara dilakukan adalah pada skrin sesentuh tujuh inci terapung yang digunakan untuk mengawal sistem infotainmen, selain kemudahan ini mempunyai sambungan Bluetooth, kapasiti penyimpanan dalaman 16GB dan sambungan telefon pintar untuk Android.
Ciri keselamatan pada model ini terdiri daripada Brek Anti Kekunci (ABS) dengan Agihan Brek Elektronik (EBD) dan Bantuan Brek (BA) untuk ketiga-tiga varian yang turut dilengkapi dengan beg udara depan, sensor tempat letak kereta belakang dan titik penahan ISOFIX dengan top tethers.
Tambahan pada varian Premium adalah Bantuan Kawalan Cerun, sensor tempat letak kereta hadapan, kamera undur dan Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC) dengan Sistem Kawalan Cengkaman (TCS). – Berita Harian Online