SEPANG: Model kenderaan utiliti sukan (SUV) kompak baharu, Proton X50 mendapat sambutan hebat apabila tempahannya sudah melepasi sasaran jualan 4,000 unit yang ditetapkan tahun ini walaupun belum lagi dilancarkan secara rasmi.
Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar Sdn Bhd, Roslan Abdullah, berkata pihaknya tidak menjangkakan sambutan ke atas model yang amat dinanti-nantikan rakyat Malaysia itu sangat memberangsangkan berbanding barisan model lain keluaran PROTON.
“Ia sesuatu yang baharu kepada PROTON. Kebiasaanya pelanggan hanya mengesahkan tempahan apabila melihat model yang ingin dibeli dengan mata dan kepala sendiri. Namun, situasi yang dihadapi kami untuk Proton X50 amat berlainan.
“Pelanggan langsung tidak pernah melihat apatah lagi menyentuh model ini di pusat pengedaran Proton di seluruh negara tetapi membuat tempahan hanya berdasarkan laporan media dan gambar yang tersebar di media sosial.
“Apa yang boleh diperkatakan mengenai model ini adalah sambutan hebat yang kami tidak pernah jangka. Namun, saya memohon maaf kerana tidak boleh mendedahkan jumlah sebenar tempahan tetapi ia melebihi sasaran jualan (4,000 unit) menjelang akhir tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis prebiu prestasi dan aktiviti pemanduan Proton X50 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), hari ini.
Roslan berkata, sambutan yang diterima model yang bakal dilancarkan dalam masa terdekat itu tidak terjejas dengan tempoh berakhirnya moratorium sebaliknya ia sangat berkait rapat dengan model berkenaan serta pelepasan cukai jualan yang diumumkan kerajaan.
“Memandangkan jumlah tempahan yang diterima ketika ini luar jangka, kami berbincang dengan vendor dan bahagian pengeluaran agar dapat meningkatkan lagi pengeluaran bagi memenuhi permintaan pelanggan,” katanya.
Beliau turut menjangkakan, Proton X50 bakal menyumbang angka tambahan dari segi jumlah jualan PROTON tahun ini di samping model sedia ada seperti X70, Saga, Persona dan Iriz.
“Ia akan memberi nilai tambah kepada jualan PROTON. Kami melihat ia tidak akan mengurangkan permintaan ke atas barisan model kami yang lain.
“Ia adalah segmen baharu kepada PROTON dan buat masa ini tiada model dalaman lain yang boleh bersaing. Ia sebenarnya akan bersaing dengan model pesaing dalam segmen sama di luar sana.
“Buat masa ini, Saga adalah model paling laris dengan harga jualan di bawah RM40,000, manakala X50 pula dianggarkan berharga dalam lingkungan harga segmen-B hingga C,” katanya.
Roslan berkata, pelanggan PROTON juga boleh menikmati pengecualian cukai sehingga Januari 2021, walaupun pengumuman kerajaan hanya setakat 31 Disember ini.
Katanya,manfaat itu akan dinikmati pelanggan berdasarkan tarikh pengeluaran terakhir pada Disember, meskipun didaftarkan pada bulan berikutnya.
“Bagaimanapun, PROTON akan memaklumkan kepada pelanggan sama ada mereka menikmati pengurangan harga dari pengecualian cukai atau sebaliknya ketika membuat tempahan memandangkan tempoh menunggu ketika ini sudah melebihi tiga bulan,” katanya.
Mengulas mengenai jenama Proton, beliau berkata, sejak pengenalan SUV pertama Proton, X70, pada Disember 2018, tahap keyakinan terhadap jenama itu meningkat dengan ketara.
“Kami menyasar menambah baik perkhidmatan selepas jualan kami untuk menjadi nombor satu di negara ini menjelang September depan. Ini bermakna, kurang aduan daripada pelanggan dan alat ganti yang mencukupi,” katanya. – Berita Harian