KUCHING: Kampung Mapu Kijabu, Tebedu di Serian dan Kilometer 0.2 Jalan Sakar-Sebangkoi, Jakar di Sarikei dikenal pasti sebagai kawasan baharu jangkitan wabak rabies di Sarawak.
Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri membuat pengumuman tersebut, hari ini.
“Memandangkan kampung tersebut berada diluar 10 kilometer radius kawasan diisytiharkan wabak, maka ia adalah lokasi ke-32 dan ke-33 rabies,” katanya dalam satu kenyataan.
Sehingga kini, jumlah keseluruhan kawasan diisytihar dijangkiti wabak rabies adalah 33 kawasan di lima bahagian iaitu Kuching (5), Samarahan (3), Serian (22); Sri Aman (1); dan Sarikei (2). – Utusan Borneo Online