BAU: Seorang pekerja buruh ditangkap kerana didakwa merogol seorang remaja perempuan berusia 14 tahun yang baharu dikenalinya melalui Facebook sejak Disember lalu.
Ketua Polis Daerah Bau DSP Poge Nyaon berkata suspek berusia 22 tahun itu ditangkap di sebuah rumah pekerja di Taman Seng Goon, Kuching sekitar pukul 10 malam Khamis.
Menurutnya, kejadian tersebut dilaporkan berlaku sekitar 8 hingga 10 Februari baru-baru ini selepas suspek bermalam di rumah keluarga mangsa di Kampung Keranji, di sini.
“Bagaimanapun, kejadian (rogol) tersebut tidak diceritakan mangsa sehingga ia disedari oleh adik mangsa yang melihat ‘love bite’ pada dada mangsa semasa mereka di asrama sebuah rumah kebajikan di Kuching.
“Perkara tersebut turut diketahui oleh penyelia asrama tersebut yang kemudian terus membuat laporan polis berhubung kejadian sehingga membawa kepada penangkapan suspek,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Poge selain itu turut memberitahu siasatan awal mendapati mangsa dan suspek mengaku melakukan hubungan seks sebanyak dua kali.
“Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk pemeriksaan kesihatan.
“Manakala suspek akan direman (esok) di Mahkamah Bau untuk siasatan lanjut di Seksyen 376 Kanun Keseksaan,” katanya. Utusan Borneo Online