KUALA LUMPUR: Prestasi memberangsangkan Luqman Hakim Shamsudin bersama KV Kortrijk menyaksikan nilai pasarannya naik dua kali ganda.
Ia selepas laman Transfermarkt meletakkan nilai €150,000 (RM740,000) sebagai tanda harga baharu buat Luqman berbanding sebelum ini €50,000 (RM246,500).
Ketua Pegawai Operasi Exeliq Sports Management Sdn Bhd, Faidauz Azhar menjelaskan secara asasnya beberapa perkara terutama prestasi semasa menjadi antara faktor penentu terhadap nilai pasaran seseorang pemain.
Beliau berkata, walaupun kemampuannya masih belum terbukti sepenuhnya bersama skuad utama KV Kortrijk, kejayaan penyerang berusia 18 tahun itu yang lebih mesra disapa Luqie oleh rakan sepasukan memberikan impak kepada pasukan bawah 21 tahun (B-21) kelab dan aksi persahabatan juga diambil kira dalam penilaian dibuat Transfermarkt.
“Biasanya Transfermarkt mengemaskini nilai pasaran terbaru pemain setiap jendela perpindahan. Saya tak pasti bagaimana pengiraan nilai pasaran pemain itu dibuat, tapi prestasi pemain diambil kira dalam penilaian itu.
“Mungkin sebab dia (Luqman) menjaringkan gol semasa aksi persahabatan dan ketika bersama skuad B-21. Kita pun memang sudah jangka nilai dia akan naik selepas dia ikat kontrak dengan Kortrijk.
“Sebenarnya graf dia bagus, semalam kita jangka dia tak dapat main, tapi sebaliknya dia beraksi dan selepas itu hantaran dia memberikan penalti (kepada Kortrijk). Itu pun antara ‘point’ yang dia dapat, kerana nilai pemain ini macam pasaran saham,” katanya kepada BH Sukan, semalam.
Penyerang muda berasal dari Kota Bharu, Kelantan itu mencipta sejarah muncul pemain Malaysia pertama membuat penampilan dalam liga utama Belgium, Jupiler Pro League selepas masuk sebagai pemain gantian pada minit ke-74 ketika berdepan RSC Anderlecht.
Sebelum ini, Luqman sudah mempamerkan aksi yang memberangsangkan bersama skuad B-21 termasuk meledak gol kemenangan KV Kortrijk ketika menentang KFCO Beerschot Wilrijk dalam aksi Kumpulan 2 Liga Belgium B-21, minggu lalu.
Selain itu, Faidauz juga tidak menolak kemungkinan populariti yang Luqman bawa kepada kelab itu turut menjadi antara penyumbang kepada nilai pasarannya.
“Kalau kita lihat pengikut di media sosialnya dan kelab juga meningkat dan jika berjaya memberikan aksi lebih baik selepas ini, nilai pasarannya juga akan terus meningkat,” katanya. – Berita Harian