Sarawak tetap kuatkuasa OMO 1958 0 3348

KUCHING: Sarawak tetap menguatkuasakan Ordinan Perlombongan Minyak 1958 dan melaksanakan hak-hak ke atas minyak dan gas negeri ini berdasarkan ordinan tersebut.

Perkara itu ditegaskan Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Undang-Undang, Hubungan Negeri dan Persekutuan dan Pemantauan Projek) Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali (gambar).

Ujarya, tiada apa yang dapat menyekat Sarawak menguatkuasakan OMO kerana ia merupakan undang-undang yang sah.

“Kita tidak akan berkompromi dalam hal kedudukan undang-undang kita. Kita mahu menguatkuasakan undang-undang ini untuk kebaikan rakyat Sarawak.

“Kita juga mahu memastikan hak-hak kawal selia kita (dalam industri minyak dan gas di negeri ini) dilindungi…Tiada apa yang dapat menghalang kita menguatkuasakan OMO58 ke atas perlombongan minyak dan gas di tanah kita sendiri,” ujarnya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata jika Petroliam National Berhad (Petronas) mahu membawa perkara itu ke Mahkamah Tinggi, Sarawak akan bersedia menghadapinya.

Ditanya sama ada kerajaan negeri akan mengenakan denda ke atas Petronas jika tidak mematuhi OMO, beliau berkata adalah terlalu awal untuk mengatakan demikian kerana syarikat minyak itu tidak dengan khusus menyatakan sama ada mereka akan mematuhi ordinan berkenaan atau sebaliknya.

“Masih terlalu awal untuk mengatakan kita akan mengambil mendenda Petronas atau tidak jika tidak mematuhi undang-undang ini kerana setakat ini syarikat itu tidak menyatakan pendiriannya sama ada patuh atau sebaliknya,” ujar beliau.

Sharifah Hasidah berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai kenyataan media Petronas semalam yang mengatakan syarikat itu kekal dengan pendirian berhubung pemilikan ekslusif sumber petroleum serta pengawal selia industri huluan di negara ini.

Syarikat itu berkata, ia akan terus memantau rapat situasi termasuk mendapatkan pandangan dan bimbingan dari Kerajaan Persekutuan, sebagai pemegang saham tunggal Petronas, dalam melaksanakan tugas.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan kenyataan Pejabat Ketua Menteri berhubung penguatkuasaan kuasanya di bawah undang-undang negeri berkaitan minyak dan gas di Sarawak.

Petronas merujuk kepada Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974 untuk pemilikan ekslusif dimaksudkan tetapi Sarawak mendakwa enakmen PDA melalui parlimen telah melanggar Perlembagaan Malaysia.

Kerajaan Negeri berkeras mengatakan OMO58 menetapkan semua pemain industri minyak dan gas di negeri ini termasuk Petronas harus mematuhi undang-undang itu.

Semua syarikat termasuk kontraktor dan subkontraktor dan vendor mereka dalam industri minyak dan gas perlu memohon lesen daripada Kerajaan Negeri untuk beroperasi di Sarawak berkuatkuasa 1 Julai 2018.

Syarikat-syarikat minyak diminta berbuat demikian di bawah OMO 1958 serta beberapa undang-undang lain seperti Ordinan Pengagihan Gas (GDO) 2016 dan Kanun Tanah Negeri (SLC).

Tindakan undang-undang dan sewajarnya akan diambil ke atas pihak yang gagal mematuhi ordinan tersebut, ia termasuk aktiviti-aktiviti huluan dilakukan Petronas. – Utusan Borneo Online

Spread the news
Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Pelitup muka bukan sisa domestik 0 15405

Pelitup muka bukan sisa domestik

CABARAN pandemik COVID-19 belum tamat. Sehingga kini, lebih 51 juta penduduk dunia dijangkiti virus dengan lebih 1.27 juta kematian.

Bagi membendung penularan, kita sentiasa diingatkan kepentingan mematuhi prosedur operasi standard (SOP). Ini termasuk mengamalkan penjarakan fizikal, kerap membasuh tangan, mengelak tempat sesak dan memakai pelitup muka.

Sememangnya SOP perlu dibudayakan sehingga menjadi kebiasaan baharu. Bagaimanapun, amalan pemakaian pelitup muka menjadi perhatian dan kebimbangan aktivis alam sekitar serta penyelidik.

Sebelum ini, pemakaian pelitup muka terutama daripada jenis surgikal hanya diamalkan petugas kesihatan di hospital dan klinik. Ia SOP biasa bagi mengelak jangkitan dengan pesakit dirawat. – Berita Harian

Spread the news

Besarnya ‘sang bedal’ 😱😱😱 0 8420

Besarnya ‘sang bedal’ 😱😱😱

Limbang: Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Limbang memindahkan buaya seberat 800 kilogram sepanjang lima meter yang ditangkap di parit di Taman Perumahan St Edmund Limbang, di sini, semalam, ke kawasan selamat pagi hari ini.

BBP Limbang dalam kenyataannya berkata, sekitar 11 malam, reptilia itu ditemukan tersesat di dalam parit di kawasan perumahan itu menyebabkan kegelisahan penduduk di situ.

Justeru, katanya, sepasukan bomba dikerah ke lokasi membantu bagi menangkap serta mengikat buaya berkenaan di parit berdekatan kawasan perumahan berkenaan.

“Hari ini, bomba dengan bantuan Sarawak Forestry Corporation (SFC) ke lokasi menjalankan khidmat khas pada 8.25 pagi untuk memindahkan buaya itu.

“Pasukan bomba dengan bantuan tujuh anggota SFC mengambil masa hampir satu jam mengangkat buaya tembaga itu ke darat dengan menggunakanΒ forklift,” katanya, hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, buaya diletakkan dalam kenderaan khas kemudiannya diserahkan kepada SFC untuk dihantar ke lokasi penyimpanan SFC di Kubong. – Harian Metro

Spread the news