SEORANG guru rentung, manakala dua rakan setugasnya melecur dalam insiden kebakaran membabitkan dua kuarters di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Bungan di Mulu, dekat Miri, hari ini.
Dalam kejadian jam 5 pagi itu, lima lagi penghuni kuarters berkenaan berjaya menyelamatkan diri sejurus menyedari kebakaran berlaku.
Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Miri, Law Poh Kiong ketika dihubungi sebentar tadi mengesahkan kejadian berkenaan dan memaklumkan operasi pemadaman api masih berjalan.
“Hasil siasatan awal mendapati kebakaran bermula di ruang tamu berhampiran bahagian dapur kuarters bersebelahan sebelum merebak.
“Kita dimaklumkan mangsa yang rentung itu masuk semula ke dalam kuarters, dipercayai untuk membantu beberapa rakannya.
“Bagaimanapun, mangsa dipercayai terperangkap sebelum ditemui rentung sebaik kebakaran berjaya dikawal. Identiti mangsa sedang dikenal pasti,” katanya–Harian Metro