KUCHING: Seorang suri rumah dari Sabah menjadi jutawan dalam sekelip mata selepas memenangi hadiah Supreme Toto 6/58 Jackpot sebanyak RM41.45 juta pada minggu lepas.
Pemenang bertuah berusia 54 tahun itu ketika menuntut hadiah kemenangan bersama suami dan anak perempuannya di ibu pejabat di Kuala Lumpur memberitahu, beliau hanya menyedari dirinya pemenang pada Rabu selepas memeriksa tiket menggunakan mesin CheckWin di sebuah premis pada Sabtu.
“Berita baik ini menyebabkan saya tidak dapat tidur beberapa hari selepas mengetahui bahawa saya pemenang Jackpot RM41.45 juta.
“Sebagai suri rumah, bermain permainan lotto adalah kegemaran saya kerana saya suka mencampur dan memadankan nombor walaupun hanya bertaruh sekali sekala apabila mengikuti suami membeli nombor,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan Sport Toto Malaysia hari ini.
Wanita itu memberitahu set nombor yang membawa tuah kepada dirinya (1, 9, 12, 17, 28 dan; 38) merupakan gabungan beberapa nombor bertuah dan hari lahir ahli keluarganya.
“Saya masih tidak tahu apa yang hendak dibuat dengan durian runtuh ini. Saya rasa saya akan berkongsinya dengan suami dan anak saya,” katanya lagi.
Beliau yang hanya membelanjakan RM2 pada tiket Supreme Toto 6/58 membawa pulang RM41,450,150.65. – Utusan Borneo Online