Tabung Harapan hanya untuk bayar hutang kerajaan – Lim Guan Eng 0 5583

KUALA LUMPUR: Sumbangan derma yang disalurkan kepada Tabung Harapan Malaysia (Tabung Harapan) akan hanya digunakan untuk membayar hutang kerajaan, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng (foto fail).

Ketika menegaskan pendirian itu, beliau berkata sekiranya jumlah tabung itu tidak mencukupi, kerajaan akan menampung baki yang diperlukan bagi melunaskan hutang tersebut.

“Kita tidak akan menggunakannya bagi tujuan lain. Ini memang tidak dibenarkan.

“Jika jumlah tabung itu tidak cukup (untuk membayar hutang), kerajaan akan menambah jumlah selebihnya.

“Sebagai contoh, jika kita mahu membayar ansuran hutang kira-kira RM200 juta tetapi Tabung Harapan itu cuma ada RM50 juta, maka bakinya akan ditampung oleh kerajaan,” katanya dalam dalam temu bual dengan Bernama.

Tabung Harapan Malaysia yang berjumlah RM54.89 juta setakat 9 Jun, 2018, ditubuhkan pada 30 Mei lepas bagi membolehkan kalangan rakyat yang patriotik menyalurkan sumbangan selepas mengetahui paras hutang kerajaan mencecah RM1 trilion.

Penubuhannya juga membolehkan Kementerian Kewangan menguruskan sumbangan ikhlas rakyat itu secara sistematik dan telus.

Selain itu, mengulas kritikan PAS bahawa parti itu tidak mengamalkan pendekatan mewujudkan tabung sedemikian walaupun menanggung hutang di Kelantan, Lim berkata beliau tidak pasti jika PAS layak memberi pandangan sedemikian.

“Saya tidak pasti sama ada PAS berhak untuk bercakap mengenai pengurusan ekonomi. Ini kerana dari  segi pengurusan ekonomi, PAS tidak ada rekod yang baik. Kelantan adalah di antara negeri yang selalu mengalami defisit sehinggakan perlu meminjam daripada kerajaan Persekutuan.

“Jika tidak meminjam daripada Kerajaan Persekutuan, mereka juga tidak dapat membayar gaji kakitangan  kerajaan negeri. Oleh  itu saya rasa PAS perlu menguruskan ‘rumah’ mereka sendiri terlebih dahulu. Tengok cermin dan tanya (diri) sendiri.”

Dalam pada itu, Lim berkata, kerajaan akan melantik firma audit luaran bagi memastikan aspek ketelusan.

“Ada pihak mencadangkan supaya mereka (firma audit luaran ini) memberi perkhidmatan itu secara percuma. Cadangan ini memang saya alu-alukan dan sokong. (Bagaimanapun) kita perlu mencari sebuah firma audit yang sudi menawarkannya secara percuma dan amat berterima kasih,” katanya secara berseloroh.

Selain itu terdapat kalangan warga Malaysia di luar negara yang menggesa kerajaan mendapatkan bantuan kedutaan asing bagi memudahkan sumbangan derma kepada Tabung Harapan.

  Laporan sebelum ini menyatakan anak kelahiran Pulau Pinang, K. Gurunathan yang dilantik sebagai Datuk Bandar Kapiti Coast di Wellington, New Zealand, akan menyumbangkan NZ$1,000 (kira-kira RM2,802) kepada Tabung Harapan.

“Sebagai rakyat Malaysia yang menolak politik ras, diskriminasi dan rasuah dan memulakan kehidupan demi masa depan di New Zealand, saya merayu kepada diaspora Malaysia di New Zealand dan serata dunia untuk sama-sama menyokong kempen ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, ada seramai 700,000 hingga sejuta rakyat Malaysia di serata dunia, termasuk 18,000 orang di New Zealand. – BERNAMA

Spread the news
Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Pelitup muka bukan sisa domestik 0 15421

Pelitup muka bukan sisa domestik

CABARAN pandemik COVID-19 belum tamat. Sehingga kini, lebih 51 juta penduduk dunia dijangkiti virus dengan lebih 1.27 juta kematian.

Bagi membendung penularan, kita sentiasa diingatkan kepentingan mematuhi prosedur operasi standard (SOP). Ini termasuk mengamalkan penjarakan fizikal, kerap membasuh tangan, mengelak tempat sesak dan memakai pelitup muka.

Sememangnya SOP perlu dibudayakan sehingga menjadi kebiasaan baharu. Bagaimanapun, amalan pemakaian pelitup muka menjadi perhatian dan kebimbangan aktivis alam sekitar serta penyelidik.

Sebelum ini, pemakaian pelitup muka terutama daripada jenis surgikal hanya diamalkan petugas kesihatan di hospital dan klinik. Ia SOP biasa bagi mengelak jangkitan dengan pesakit dirawat. – Berita Harian

Spread the news

Besarnya ‘sang bedal’ 😱😱😱 0 8421

Besarnya ‘sang bedal’ 😱😱😱

Limbang: Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Limbang memindahkan buaya seberat 800 kilogram sepanjang lima meter yang ditangkap di parit di Taman Perumahan St Edmund Limbang, di sini, semalam, ke kawasan selamat pagi hari ini.

BBP Limbang dalam kenyataannya berkata, sekitar 11 malam, reptilia itu ditemukan tersesat di dalam parit di kawasan perumahan itu menyebabkan kegelisahan penduduk di situ.

Justeru, katanya, sepasukan bomba dikerah ke lokasi membantu bagi menangkap serta mengikat buaya berkenaan di parit berdekatan kawasan perumahan berkenaan.

“Hari ini, bomba dengan bantuan Sarawak Forestry Corporation (SFC) ke lokasi menjalankan khidmat khas pada 8.25 pagi untuk memindahkan buaya itu.

“Pasukan bomba dengan bantuan tujuh anggota SFC mengambil masa hampir satu jam mengangkat buaya tembaga itu ke darat dengan menggunakanΒ forklift,” katanya, hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, buaya diletakkan dalam kenderaan khas kemudiannya diserahkan kepada SFC untuk dihantar ke lokasi penyimpanan SFC di Kubong. – Harian Metro

Spread the news