RAMALLAH: Seorang remaja Palestin ditembak mati semalam ketika tentera Israel melancarkan serbuan baru di Tebing Barat, kata Kementerian Kesihatan.
Tentera Zionis melancarkan gerakan memburu seorang warga Palestin yang membunuh dua anggotanya sehari sebelum itu.
Mangsa, Mahmoud Nakhla, 17, meninggal dunia selepas ditembak di perut oleh tentera Israel berhampiran kem pelarian Jalazone di tengah Tebing Barat.
Tentera sekali lagi menyerbu kawasan penempatan Al-Bireh di bandar raya Ramallah selepas melancarkan serbuan kelmarin, dengan penduduk berkata mereka merampas kamera daripada dua bangunan.
Kejadian kelmarin adalah serangan maut ketiga dilancarkan pejuang Palestin di Tebing Barat dalam masa dua bulan dan mencetuskan demonstrasi oleh kumpulan peneroka menentang Perdana Menteri Benjamin Netanyahu, yang memerlukan sokongan mereka.
Media Israel membuat spekulasi mengenai kemungkinan Intifada baru menentang pencerobohan Israel di Tebing Barat. — AFP