KUCHING: Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) memutuskan pemilihan Cabang Julau tidak akan diadakan semula.
Pengerusi JPP Datuk Rashid Din berkata keputusan itu dicapai selepas penjelasan daripada Unit Operasi dan Unit Sistem dan Teknologi Maklumat serta mengambil kira Laporan Teknikal daripada pihak pembangun sistem e-undi.
“Keputusan ini berdasarkan pada analisa hasil kiraan undi yang membuktikan bahawa semua data adalah selamat dan telah pun berjaya dimuatnaik ke pelayan sistem (cloud) walaupun terdapat aplikasi e-undi pada enam unit tablet telah disapu bersiholeh perisian Prey Anti-Theft,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Menurutya lagi, perincian undi yang direkodkan dan analisa teknikal menunjukkan bahawa tiada undi yang tercicir dan keputusan pengundian tersebut sebenarnya boleh diterima pakai.
“Keputusan pemilihan untuk Cabang Julau, Sarawak akan dimuatnaik dalam portal rasmi Pemilihan Parti (www.pemilihankeadilan2018.com) dalam masa terdekat,” ujarnya.
Pemilihan Cabang Julau diadakan pada Sabtu lepas. Keputusan ditunda berikutan tablet yang digunakan di Pusat Kompleks SukanJulau didakwa digodam dengan perisian pengintipan.
Sarawak merupakan negeri terakhir dan penentu bagi pemenang jawatan Timbalan Presiden PKR antara Rafizi Ramli dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Setakat ini, Azmin mendahului.Pemilihan parti yang bermula Ogos lepas menyaksikan Datuk Seri Anwar Ibrahim menang tanpa bertanding jawatan Presiden.
Sementara itu, pada malam Ahad, calon Ketua Cabang Julau yang juga Ahli Parlimen Julau, Larry Sng memaklumkan proses pemilihan akan diadakan semula pada Rabu atau Khamis ini. – Utusan Borneo Online