KOTA SAMARAHAN: Sedap sekejap, seksa bertahun. Itu yang bakal dihadapi oleh seorang lelaki berusia 24 tahun, yang berhadapan tuduhan rogol gadis statituori atau bawah umur di Mahkamah Sesyen Kota Samarahan, di sini hari ini.
Kes akan disebut sekitar jam 9 pagi ini setelah suspek yang juga seorang penganggur ditahan reman sejak 8 Januari lalu.
Menurut Ketua Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Serian, Asisten Superintendan Alias Nen, kes terbongkar apabila mangsa, pelajar tingkatan dua sebuah sekolah menengah di sini mengaku telah melakukan hubungan seks dengan teman lelakinya, yang tinggal sekampung.
“Kejadian dikatakan berlaku dua kali pada bulan Julai 2016 di dua lokasi berbeza iaitu di rumah suspek di Kampung Koran Barie dan di Taman Rekreasi Ranchan, Serian.
“Mangsa yang juga gadis Bidayuh mendakwa telah dipaksa dan diugut sebelum mengadakan hubungan seks tersebut.
Suspek dikatakan sering menyelinap masuk ke dalam rumah mangsa, setiap kali hubungan cinta berlangsung.
Susulan pengakuan mangsa kepada ibunya yang berusia 37 tahun, satu laporan polis dibuat pada jam 4.15 petang 7 Januari lalu, seterusnya membawa kepada penangkapan suspek pada awal pagi keesokannya.
“Mangsa kemudian dibawa menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Umum Sarawak dan mendapati terdapat kesan koyakan pada bahagian sulitnya.
Kes dituduh di bawah Seksyen 376(2)(d) Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman maksimum 20 tahun penjara dan sebatan. — Sarawakvoice