Usah rumitkan keadaan dengan sebar berita palsu 0 5735

Usah rumitkan keadaan dengan sebar berita palsu

Penularan berita palsu bukan fenomena baharu, tetapi kesannya dapat dilihat lebih jelas pada era COVID-19. Ketika masyarakat dunia berusaha menangani cabaran itu dan bakal menghadapi kemelesetan ekonomi, kita juga terpaksa berdepan dengan ‘pandemik’ baharu, iaitu penularan berita palsu dan maklumat tidak tepat.

Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) memberi amaran bahawa amalan itu boleh membawa kepada penerimaan berita palsu dan penolakan maklumat benar.

Contohnya, seorang rakyat Amerika Syarikat (AS) meninggal dunia selepas mengambil sejenis chloroquine yang digunakan untuk membersihkan tangki ikan, kerana beranggapan boleh mengubati COVID-19.

Satu kajian menganggarkan kira-kira 800 orang di seluruh dunia dilaporkan meninggal dunia akibat berita palsu berkaitan COVID-19 seperti mengambil ‘ubat’ mengandungi methanol atau bahan peluntur.

Ini membawa kepada persoalan, apakah kita mempunyai kecenderungan menyebar dan mempercayai berita palsu? Kajian menunjukkan maklumat palsu disebarkan jauh lebih pantas berbanding maklumat benar. Mungkin elemen sensasi dan kekinian yang terdapat dalam berita palsu menarik perhatian pembaca hingga mendorong berkongsi maklumat itu.

Malaysia mempunyai bilangan pengguna internet tinggi, iaitu kira-kira 87 peratus daripada jumlah penduduk. Namun, ini tidak bermaksud pengguna mempunyai literasi media tinggi kerana ramai tidak tahu cara membezakan fakta sahih dengan berita palsu.

Polis terpaksa membuka 270 kertas siasatan berkaitan perkongsian berita palsu COVID-19 dan 19 kes dibawa ke mahkamah. Pada masa sama, Pasukan Respon Pantas Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) menafikan dan menjelaskan 388 berita palsu.

Ini menunjukkan kita tidak sedar perkongsian seperti ini boleh mempengaruhi pemikiran dan tingkah laku kita serta mendatangkan kesan negatif kepada masyarakat dan negara.

Sebagai contoh, laporan mengatakan ada perniagaan mengalami penurunan jualan 80 peratus selepas berita palsu mengenai pekerja atau pelanggan mereka dikatakan positif COVID-19 menjadi tular.

Kajian dijalankan oleh Institute of Strategic and International Studies (ISIS) menunjukkan 70 peratus daripada 363 berita palsu berkaitan tindakan kerajaan dalam menangani COVID-19 dan penularan virus dalam kalangan komuniti.

Apabila kita lebih cenderung menerima maklumat yang belum ‘ditentusahkan’ berbanding kenyataan dikeluarkan pakar dan pihak berkuasa, ini menunjukkan kita mencurigai mereka yang lebih arif serta berpengalaman daripada kita.

Situasi ini bukan bermaksud kita hanya bertaklid dan menurut sahaja tanpa berfikir. Namun, jika kita tidak mengambil kira dan mengiktiraf kajian serta kepakaran mereka, sumber maklumat yang manakah boleh kita percayai?

Adakah kita lebih rela mempercayai kenyataan dan dakwaan seorang selebriti atau influencer mengenai perkara yang berada di luar bidangnya? Sekurang-kurangnya, kita perlu menyelidik maklumat yang diterima dengan merujuk kepada beberapa sumber berbeza boleh dipercayai.

Sikap sesetengah netizen melampaui batas apabila mereka menularkan maklumat peribadi mengenai pesakit yang masih dalam siasatan serta belum ditentusahkan lagi sama ada positif COVID-19 atau tidak.

Walhal, kita seharusnya meletakkan kepercayaan kepada pihak berkuasa yang menjalankan tugas mereka. Jika seseorang disahkan positif COVID-19, pegawai kesihatan akan mengesan kontak yang menyeluruh. Usahlah kita mendedahkan maklumat sulit seperti nama, gambar dan tempat tinggal individu yang pada sangkaan kita dijangkiti COVID-19.

Dengan berbuat demikian, kita sebenarnya merumitkan masalah sedia ada melalui penyebaran fitnah yang akan mengakibatkan ketakutan dan menambah kegelisahan orang ramai. Penyebaran berita palsu akan memberi impak negatif kepada minda masyarakat yang menyebabkan akan mudah panik dan menyalahkan kumpulan tertentu berdasarkan andaian.

Ini boleh membawa kepada penggunaan kata-kata kebencian, hasutan atau menggunakan keganasan terhadap mana-mana kumpulan dianggap sebagai ‘pembawa’ wabak ini seperti menyalahkan orang China, kumpulan Tabligh, migran dan pelarian.

Situasi ini boleh mengakibatkan kehancuran perpaduan antara masyarakat berbilang kaum dan agama. Tanpa kita sedari, perbuatan menularkan berita palsu dan bertindak atas berita palsu berkenaan boleh membawa kepada kezaliman.

Sesungguhnya, usaha memerangi COVID-19 memerlukan kerjasama semua pihak demi mengurangkan penularan berita palsu dan maklumat tidak tepat yang berupaya mengelirukan rakyat serta mempengaruhi pemikiran supaya bertindak atas kekeliruan maklumat dan ilmu.

Usaha ini sangat diperlukan bagi menggalakkan lagi amalan komunikasi beretika dan berkesan dalam menyampaikan maklumat tepat serta sahih.

Antara panduan untuk netizen membezakan berita sahih dan berita palsu, pertama adalah dengan menyemak pautan atau sumber yang kadang-kadang dibuat supaya menyerupai sumber asli.

Kedua, kita perlu menyemak tarikh dan gambar kerana ia mungkin menggunakan fakta betul tetapi peristiwa berlalu beberapa tahun lepas dan disebarkan seolah-olah berlaku sekali lagi.

Ketiga, dari segi bahasa digunakan, adakah bahasa digunakan penuh dengan emosi, artikel membuat dakwaan keterlaluan atau kenyataan terlalu sensasi hingga susah dipercayai?

Keempat, semak rujukan, adakah artikel mempunyai rujukan untuk mendukung kenyataan atau dakwaan dibuat? Begitu juga siapakah sumber memberikan kenyataan berkenaan dan apakah sumber dirujuk seseorang berautoriti dan pakar dalam isu berkenaan?

Kelima, buat perbandingan. Jika tidak pasti, sama ada maklumat berkenaan sahih atau sumbernya dicurigai, buat perbandingan mengenai isu itu dengan merujuk kepada sumber berbeza.

Keenam, verifikasi maklumat diterima seperti menggunakan enjin pencarian untuk mencari sumber asal maklumat terbabit daripada laman web atau akaun media sosial organisasi berkaitan. Boleh juga menelefon, e-mel atau menghantar mesej untuk memastikan kesahihan mana-mana maklumat meragukan.

Akhirnya, fikir dahulu dan jangan terlalu laju apabila hendak berkongsi maklumat diterima. Jika tidak pasti, lebih baik jangan kongsi.

Penulis adalah Pensyarah Kanan (Undang-Undang Perlembagaan Dan Hak Asasi Manusia), Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM)

Berita Harian

Spread the news
Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Wanita trauma dirogol, liwat dan dicederakan akibat hutang 0 13950

Wanita trauma dirogol, liwat dan dicederakan akibat hutang

JOHOR BAHRU: Seorang wanita trauma apabila dirogol, diliwat dan dicederakan temannya sendiri disyaki berikutan pertikaian mengenai hutang, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupeah Abd Wahid, berkata dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi, mangsa dibawa ke rumah rakannya.

“Kejadian ini membabitkan seorang suspek lelaki dan dua suspek wanita yang juga rakan mangsa. – Berita Harian

Spread the news

Lebih 10 rumah dinaiki air 0 13115

Lebih 10 rumah dinaiki air

KUALA TERENGGANU: Fenomena air pasang besar selain hujan berterusan di sekitar daerah ini semalam menyebabkan lebih 10 rumah penduduk di Kampung Losong Haji Mohd, di sini dinaiki air, malam tadi.

Penduduk yang ditemui di kampung berkenaan memaklumkan air mula naik kira-kira jam 9.30 malam.

Tinjauan NSTP mendapati, beberapa rumah yang terletak berhampiran sungai dinaiki air sehingga paras paha. – Berita Harian

Spread the news