MIRI: Seorang wanita warga emas ditemui mati dalam keadaan terbaring di atas mangkuk tandas di sebuah rumah di Taman Delight di sini sekitar jam 6.18 petang pada Jumaat.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Zon 6 Miri Penguasa Kanan Bomba I Law Poh Kiong berkata mangsa yang disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan itu dikenali sebagai Lai Lin Mui berusia 68 tahun.
“Pada mulanya bomba menjalankan khidmat khas pecah tombol pintu rumah setelah menerima aduan orang ramai bahawa penghuni rumah tidak menjawab panggilan jiran.
“Anggota bomba menjumpai seorang wanita warga emas dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam tandas utama dengan keadaan terbaring di atas mangkuk tandas,” katanya dalam satu kenyataan media.
Bomba turut menemui seorang lelaki warga emas berusia lingkungan 70-an berada di dalam bilik tengah rumah tersebut dalam keadaan berbaring dan dipercayai lumpuh anggota badan.
Law berkata siasatan lanjut sedang dijalankan oleh polis bagi mengenal pasti punca sebenar kematian wanita warga emas terbabit -Utusan Borneo Online