KUCHING: Seorang lelaki warga emas meninggal dunia akibat kecederaan parah selepas terlibat kemalangan di Jalan Sungai Moyan, Batu Kawa sekitar jam 8.30 malam tadi.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Sarawak Superintenden Alexson Naga Chabu berkata mangsa dikenali sebagai Chen Min Sen berusia 67 tahun.
Menurutnya, semasa kejadian mangsa menunggang motosikal dari rumahnya di Sungai Moyan menuju ke Kuching.
“Setiba di lokasi kejadian, motosikal mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas.
“Mangsa yang mengalami kecederaan parah di kepala kemudian dibantu oleh orang awam sebelum dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan lanjut.
“Bagaimanapun, pada jam 9.45 malam mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di Unit Kecemasan HUS,” jelasnya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik HUS untuk tindakan selanjutnya.
Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ)1987. – Utusan Borneo Online