“Apa pun manifesto kata, kalau dah pinjam kenalah bayar,” petik kata-kata Menteri Pendidikan Dr Mazlee Malik yang disiarkan oleh Malaysiakini.
Sedikit pandangan saya sebagai manusia biasa seharusnya seorang menteri harus berhati-hati dalam mengeluarkan sesuatu kenyataan agar tidak menyinggung hati para-para peminjam PTPTN dan pengundi-pengundi.
Pada dasarnya saya sangat bersetuju bahawa kita sebagai peminjam perlu kita membayar pinjaman atau hutang itu tetapi YB harus ingat bahawa di dalam manifesto Pakatan Harapan (HARAPAN) yang secara jelas menyatakan bahawa: ‘Menangguhkan pembayaran balik pinjaman PTPTN kepada semua peminjam bergaji kurang dari RM4,000 sebulan dan memansuhkan dasar senarai hitam ke atas peminjam’.
Saya yakin dan percaya bahawa disebabkan manifesto ini juga merupakan pemancu kemenangan HARAPAN dan menarik ramai pengundi muda untuk mengundi HARAPAN dalam PRU14.
Untuk pengetahuan menteri juga, sekiranya pada PRU14 HARAPAN tidak mengeluarkan sebarang manifesto ataupun apa yang ingin ditawarkan kepada pengundi jika dapat memerintah Malaysia, saya yakin dan percaya Dr Maszlee pun tidak boleh menjadi menteri pada saat ini.
Puji langkah mansuh senarai hitam
Kerajaan HARAPAN sepatutnya perlu memohon masa untuk melaksanakan segala janji dan kursusnya mengenai PTPTN bukannya mengeluarkan kenyataan yang menyinggung para pengundi.
Saya memuji langkah kementerian memansuhkan senarai hitam ke atas peminjam.
Hutang perlu dibayar dan manifesto perlu ditunaikan. Saya tahu bahawa manifesto bukan kitab suci yang perlu dikuti tetapi dalam masa yang sama tugas anda untuk menunaikan janji yang ditawarkan adalah perlu bimbang janji itu menjerumus ke arah munafik seperti mana yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW:
“Tanda orang munafik ada tiga: jika berbicara dia dusta, jika berjanji dia ingkar, dan jika dipercaya (diberi amanat) dia berkhianat.” (Hadis riwayat Bukhari Muslim)
Rakyat sedang melihat dan menilai anda sebagai kerajaan. Melihat janji-janji anda, melihat gerak kerja anda dan menentukan anda pada PRU15 nanti. – Malaysiakini