LIMBANG: Seorang wanita warga emas berusia 95 tahun cedera ditumbuk di bahagian muka oleh cucunya dalam satu kejadian di sebuah rumah di Kampung Pangkalan Jawa di sini, pada Isnin.
Dalam kejadian pukul 7.20 pagi itu, lelaki berusia 30 tahun tersebut dikatakan tidak berpuas hati terhadap neneknya yang menyembur cat di tangga rumah walaupun telah ditegur.
Menurut Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Mohd Bukhori Saffai, kejadian itu disedari anak mangsa 53 yang menetap berasingan sebaik dihubungi oleh sepupunya.
“Anak mangsa kemudiannya membawa mangsa ke klinik berdekatan di Tedungan dan sempat bertanya kepada suspek mengenai kejadian itu.
“Suspek mengaku menumbuk mangsa kerana tidak berpuas hati terhadap mangsa yang menyembur cat di tangga rumah mereka,” katanya hari ini.
Katanya, akibat ditumbuk oleh cucu yang dijaganya sejak kecil, mangsa mengalami bengkak di mata kanan dan lebam di tepi dahi kanan.
“Suspek berjaya ditangkap pada pukul 2.51 petang Isnin dan direman hari ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan 18A Akta Keganasan Rumah Tangga (ART) 1994, (mendatangkan kecederaan),” katanya. – Utusan Borneo Online