PARLIMEN | Di sebalik kegagalan kerajaan meminda peruntukan perlembagaan berhubung status Sabah dan Sarawak malam ini perdana menteri kelihatan bersikap terbuka dengan pendirian anggota parlimen pembangkang yang enggan menyokong usul dibawanya.
Malah kata Dr Mahathir Mohamad beliau tidak menyalahkan anggota parlimen Sarawak yang mengambil pendirian berkecuali sebentar tadi.
Ditanya media sama ada beliau menyalahkan anggota parlimen berkenaan, Dr Mahathir menjawab: “Tidak, mereka ada hak untuk mengundi menolak. Mereka ada hak.”
Usul meminda Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan itu membabitkan kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai negeri dalam negara ini.
Melalui fasal baru itu, perlembagaan akan memperincikan kedudukan semua negeri yang membentuk persekutan dan mengembalikan status negeri semasa pembentukan Malaysia pada 1963.
Bagaimanapun ketika undian dijalankan malam ini, kerajaan gagal mendapat sokongan dua per tiga anggota Dewan Rakyat seperti yang disyaratkan bagi meminda perlembagaan.
Keputusan undian menunjukkan 138 anggota parlimen menyokong dan 59 berkecuali. Tiada anggota parlimen yang mengundi untuk tidak bersetuju dengan cadangan tersebut.
Anggota parlimen yang mengambil sikap berkecuali ialah dari BN, PAS dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Untuk membolehkan rang undang-undang itu diluluskan PH memerlukan sokongan sekurang-kurangnya 148 undi.
Ditanya sama ada pendirian pembangkang – termasuk dari Sarawak – memang dijangkakan, Mahathir berkata: “Tidak juga.”
Katanya beliau menjangkakan rang undang-undang itu akan mendapat sokongan dua per tiga anggota Dewan Rakyat.
Ditanya apakah perasaannya apabila usul kerajaan digagalkan di Dewan Rakyat, beliau menjawab ringkas: “Great (hebat).”
Bagaimanapun perdana menteri tidak menjelaskan lebih lanjut kenyataan tersebut.-MalaysiaKini