KUCHING: Dua lelaki warga Indonesia ditangkap dalam Ops Rantau di kawasan Moyan Square, Batu Kawa di sini sekitar pukul 1.50 pagi hari ini.
Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Aidil Bolhassan berkata kedua-dua suspek berusia 17 dan 24 tahun itu berasal dari Jagoi Babang, Indonesia dan mengaku telah mencuri sekurang-kurangnya 30 motosikal sejak 2018.
Menurutnya, kedua-dua suspek aktif mencuri motosikal di kawasan Matang, Batu Kawa, Kota Sentosa dan Kota Samarahan.
“Hasil soal siasat suspek pertama yang dikenali sebagai Kuwik, mengaku mencuri hampir 10 buah motosikal sejak Januari tahun ini dan pernah melakukan cubaan rantau (rompakan) di kawasan Moyan pada Februari baru-baru ini bersama rakan senegaranya yang masih bebas.
“Manakala suspek kedua yang mengelarkan dirinya Taring,17, aktif mencuri motosikal sejak 2018 dan mengaku sudah mencuri hampir 20 buah motosikal di Kota Samarahan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Kedua-dua suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan untuk tindakan selanjutnya.
Terdahulunya suspek dilihat dalam keadaan mencurigakan sebelum berlaku kejar mengejar apabila kedua-dua suspek yang menunggang sebuah motosikal cuba melarikan diri daripada polis.
“Suspek bagaimanapun terbabas ke bahu jalan berdekatan jambatan Batu Kawa dan kemudian berjaya ditangkap pasukan operasi yang diketuai Inspektor Azwan Abdullah.
“Beberapa barang turut dirampas antaranya pemutar skru yang telah diubahsuai berbentuk ‘T’, parang dan empat botol berisi minyak petrol.
“Selain itu, motosikal yang digunakan suspek juga didapati motosikal curi dan pernah dilaporkan hilang di Kota Samarahan pada tahun lepas,” jelas Aidil. – Utusan Borneo Online