KUCHING : Kerja-kerja menaik taraf sepanjang Jalan Datuk Mohamad Musa hingga ke Bulatan G3 Samarahan dijangka bermula pada penghujung Ogos ini.
Menurut Menteri Muda Jalan Pesisir, Datuk Julaihi Narawi, projek ini menelan kos sebanyak RM228.4 juta dan akan bermula pada hujung bulan Ogos ini dengan kerja-kerja menaik taraf seperti membina jalan berkembar empat lorong sepanjang 10.7 kilometer, pembinaan dua buah jejantas pejalan kaki, dan pemasangan lampu jalan disepanjang jalan tersebut.
Jelasnya lagi, tiga buah jambatan baru akan dibina manakala dua buah jambatan yang sedia ada akan diganti dengan jambatan yang baharu.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dari Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan, Dato Sri Mohamad Ali Mahmud pada Persidangan Hari Keempat Dewan Undangan Negeri Sarawak Ke-18 di Kuching hari ini.
Tambahnya, projek ini juga diantara projek yang berimpak tinggi yang memakan masa selama tiga tahun untuk disiapkan dan diharap dapat menyelesaikan masalah lalu lintas disepanjang kawasan tersebut
Walaubagaimanapun tegasnya, projek ini masih lagi diperingkat reka bentuk terperinci dan akan dilaksanakan seperti yang dijanjikan.