BEIJING – Gergasi telekomunikasi China, Huawei semalam meminta mahkamah Amerika Syarikat (AS) membatalkan undang-undang yang melarang agensi kerajaan persekutuan daripada membeli produknya.
Gergasi teknologi itu memfailkan saman terhadap Washington di Mahkamah Daerah AS di Plano, Texas pada Mac lalu. Dalam saman tersebut, Huawei mendakwa bahawa Kongres AS gagal mengemukakan bukti untuk menyokong undang-undang bagi melaksanakan sekatan terhadap produk Huawei.
Menurut Huawei, pihaknya menuntut agar pihak mahkamah segera membatalkan larangan tersebut semalam.
“Kerajaan AS tidak menunjukkan bukti bahawa Huawei menjadi ancaman keselamatan. Tiada bukti untuk menyokong tuduhan sedemikian. Hanya spekulasi,” kata Ketua Pegawai Perundangan Huawei, Song Liuping dalam satu kenyataan.
Kes mahkamah itu berlaku ketika Huawei turut berdepan perintah eksekutif AS lebih meluas yang melarang penggunaan peralatan jenama China itu di negara tersebut.
Huawei juga berdepan senarai hitam Washington mengakibatkan syarikat itu tidak dapat menggunakan komponen AS dalam produknya walaupun larangan tersebut ditangguhkan selama 90 hari. – AFP