RIO DE JANEIRO: Skuad Brazil yang beraksi 10 pemain susulan Gabriel Jesus dibuang padang pada babak kedua muncul juara Copa America 2019 apabila menewaskan Peru 3-1, pagi tadi.
Jesus sebelum itu menyumbat gol sebelum rehat untuk gol kedua Brazil selepas kapten Peru, Paolo Guerrero menyamakan kedudukan gol pendahuluan Everton pada minit ke-15 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Maracana, di sini.
Penalti minit akhir daripada pemain gantian, Richarlison memastikan Brazil muncul Raja Bola Sepak Amerika Selatan dengan kejayaan kesembilan merangkul Copa sejak kali terakhir menjulangnya pada 2007.
Begitupun, Jesus berdepan detik duka 20 minit terakhir apabila dia dilayangkan kad kuning kedua sekali gus diperintah meninggalkan padang.
Penyerang Manchester City itu dilihat mengalirkan air mata sambil menyepak botol air tanda marah dan nyaris terkena trofi kejuaraan di luar padang.
Namun kemudian pemain Brazil kembali bangkit untuk memastikan kejuaraan menjadi milik mereka.
Terdahulu, hadirin di stadium bertafakur seminit untuk menghormati legenda bossa nova, Joao Gilberto yang meninggalkan dunia pada Sabtu.
Sebaik aksi bermula, Peru memulakan cabaran dengan yakin dan tidak kelihatan gugup menentang tuan rumah.
Jurulatih Peru, Ricardo Gareca sebelum perlawanan berkata, mereka perlu menyekat Brazil daripada menguasai permainan, namun kemudian mendapati kata-katanya sukar menghalang Brazil di atas padang.
Brazil mula memperagakan watak sebenar dengan mengatur siri serangan tersusun lantas menghasilkan gol awal pada minit ke-15 menerusi gerakan bijak Jesus yang mengumpan kepada Everton yang tidak dikawal.
Brazil kemudian menguasai permainan dengan Roberto Firmino menemui ruang sebelum melintangkan hantaran kepada Philippe Coutinho, namun cubaan itu sedikit tersasar.
Sayap kiri, Everton sekali lagi mencemaskan lawan apabila menewaskan Luis Advincula untuk melorongkan bola kepada Alex Sandro yang kemudian mengumpan kepada Firmino untuk satu tandukan.
Peru berjaya mengawal asakan sambil Christian Cueva melakukan serangan yang akhirnya terkena tangan Thiago Silva, sekali gus diberi penalti selepas pengadil merujuk VAR.
Guerrero berjaya menyudahkan sepakan itu pada minit ke-44 menewaskan jangkaan penjaga gol, Alisson yang menerkam ke arah bertentangan.
Pengalaman pemain Brazil nyata jadi pemisah di hujung saingan apabila siri serangan yang dilancar menyebabkan pertahanan Peru tertekan ketika Zambrano mengasari Everton dalam petak penalti lantas menghadirkan penalti yang disempurnakan Richarlison. – AFP
Senarai juara Copa America:
2019: Brazil
2016: Chile
2015: Chile
2011: Uruguay
2007: Brazil
2004: Brazil
2001: Colombia
1999: Brazil
1997: Brazil
1995: Uruguay
1993: Argentina