WOLVERHAMPTON: Ole Gunnar Solskjaer enggan menyalahkan Paul Pogba selepas bintangnya itu gagal menyempurnakan penalti ketika Manchester United terikat seri 1-1 bertemu Wolves, awal pagi tadi.
Pogba mensia-siakan peluang untuk menghadiahkan United kemenangan kedua dalam kempen Liga Perdana musim ini apabila sepakannya diselamatkan penjaga gol Wolves, Rui Patricio.
Ia kali keempat Pogba gagal menyempurnakan penalti sejak permulaan musim lalu.
Pemain tengah Perancis itu dilihat memberitahu Marcus Rashford dia mahu mengambil tanggungjawab berkenaan sekali penyerang England itu menyumbat gol melalui penalti ketika menentang Chelsea, minggu lalu.
Tetapi pengurus United, Solskjaer berkata dia membenarkan kedua-dua pemainnya itu, Pogba dan Rashford untuk mengambil penalti.
“Kedua-duanya diberikan tanggungjawab untuk mengambil sepakan penalti dan bergantung kepada mereka dan kemudian siapa merasakan ‘ini adalah tugas saya’,” kata Solskjaer.
“Kadang kala pemain merasakan mereka cukup yakin untuk menjaringkan gol. Paul sudah menjaringkan banyak penalti untuk kami dan hari ini Rui Patricio menyelamatkannya dengan baik.
“Kedua-duanya amat berkeyakinan. Saya menyukai pemain yang berkeyakinan dan mempunyai perasaan yang ‘Saya boleh melakukannya’.”
Begitupun, bekas bintang United, Gary Neville menggesa supaya Solskjaer menyelesaikan isu berkenaan sebelum pasukan itu mengharungi perlawanan berikutnya.
“Mereka sepatutnya sudah memutuskan mengenainya di bilik persalinan mengenai siapa yang mengambil penalti, ia memalukan,” kata Neville.
Rashford dalam pada itu mendedahkan Pogba memberitahunya dia mahu mengambil sepakan itu dan pemain muda itu tidak berdepan sebarang masalah. – AFP