KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan untuk membenarkan kemasukan secara bebas rakyat Sabah ke Sarawak.
Menteri Muda Permodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Datuk Roland Sagah berkata, prosedur pemeriksaan Imigresen di pintu masuk dan pemberian pas-pas yang bersesuaian adalah masih kekal.
Beliau menjelaskan perkara tu bagi menjawab soalan ADUN Krian, Ali Biju semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak Ke-18, hari ini.
Roland Sagah menambah, rakyat Sabah perlu menggunakan pasport, dokumen perjalanan terhad atau kad pengenalan untuk memasuki Sarawak.
Katanya, cadangan kemasukan secara bebas oleh rakyat Sabah tidak akan dilaksanakan tanpa kajian yang teliti.
Ujar beliau, ia juga akan mengambil kira faktor sosial dan geopolitik termasuk masalah pelarian dan pendatang haram yang berada di Sabah sebelum perkara itu dapat diberi pertimbangan. – Unit Komunikasi Awam Sarawak