SHAH ALAM: Keputusan pentas akhir musim keenam Gegar Vaganza (GV6) mengejutkan peminat apabila buat kali pertama, dua peserta diumumkan juara bersama iaitu Hady Mirza dan Naqiu.
Pada pertandingan yang disiarkan secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini, malam tadi, Hady dan Naqiu meraih wang tunai RM100,000 dan trofi.
Hady dan Naqiu turut memenangi pakej percutian ke Eropah Timur dan Asia Barat, pakej ubahsuai ruang tamu dan ruang makan serta penginapan percuma di sebuah hotel.
Vokalis kumpulan Black Dog Bone, Jatt diumumkan pemenang ketiga. Sebagai ganjaran, Jatt menerima wang tunai RM30,000 dan hadiah lain.
Peserta akhir Gegar Vaganza musim keenam di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam, sebentar tadi. -NSTP/Mohd Khairul Helmy Mohd Din
Nurfatima menduduki tempat keempat, diikuti One Nation Emcees (kelima) dan Sham Visa (keenam).
Persembahan peserta peringkat akhir diadili Datuk Ramli MS, Hetty Koes Endang dan Datuk Rizalman.
Hadiah disampaikan Naib Presiden & Ketua Bahagian Melayu dan Nusantara, Kumpulan Kandungan Astro, Datuk Khairul Anwar Salleh dan Ketua Saluran Melayu Astro, Azlun Reza Azmi.
Pentas akhir GV6 dikendalikan Nabil Ahmad dan Jihan Muse. – Berita Harian Online