KUCHING – Peguam-peguam Sarawak mahu berdiri bersama Ketua Menteri Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Openg dan berjuang untuk Kerajaan Sarawak dalam pertempuran undang-undang terhadap Petronas pada 12 Jun nanti.
Menteri Muda Undang-Undang, Hubungan Negeri dan Persekutuan dan Pemantauan Projek Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata ramai peguam telah menawarkan diri untuk membantu kerajaan negeri dan mesyuarat khas telah diatur.
Hasidah berkata pasukan perundangan Sarawak sangat bersedia dan akan berusaha mempertahankan apa yang secara perlembagaan dimiliki oleh rakyat Sarawak.
“Kami buat yang terbaik, kami membincangkan mengenai kes itu dan kami menunggu untuk pendengaran ke atas permohonan Petronas pada 12 Jun ini, jika mahkamah menerimanya, kami teruskan.
“Malah jika permohonan Petronas ditolak sekalipun, kami juga ingin membawa ke mahkamah, kami mahu membawanya sehingga selesai…tidak alang-alang,” katanya.