LIMBANG: Polis membongkar kegiatan dua sekawan yang menyorokkan dadah dalam almari pakaian dalam satu serbuan di sebuah rumah di Jalan Kubong semalam.
Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Mohd Bukhori Saffai berkata suspek berusia 24 tahun dari Batu Satu Jalan Kubong dan rakannya berumur 20 tahun dari RPR Rangau ditahan dalam operasi jam 10.15 pagi.
Jelasnya hasil pemeriksaan dalam bilik rumah berkenaan polis menjumpai satu peti besi yang mengandungi 85 biji pil ekstasi, 32 paket lutsinar ketamin, erimin 5 sebanyak 69 biji yang disorokkan dalam almari pakaian.
“Dadah yang dirampas mengandungi 85 pil ekstasi seberat 26.89 gram bernilai RM2,500, 32 peket ketamin seberat 22.75 gram (bernilai RM3,000) serta 69 eramin 5 seberat 19.18 gram bernilai RM1,100,” katanya hari ini.
Mohd Bukhori berkata kedua-dua suspek juga positif Methamphetamine dan Amphethamine hasil ujian saringan awal polis yang dilakukan terhadap mereka.
Dalam operasi berasingan katanya seorang penganggur 19, dari Jalan Cempaka Timur dicekup selepas menyembunyikan 12 biji pil ekstasi dalam serbuan jam 11.25 pagi semalam.
Suspek bagaimanapun katanya negatif dadah dan kesemua pil ekstasi seberat 6.97 gram bernilai RM720 itu dirampas.
Kesemua suspek kata beliau akan direman hari ini untuk disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952. – Utusan Borneo Online