Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) tidak bersetuju dengan cadangan kerajaan untuk menolak 2 peratus daripada gaji suami untuk dicarumkan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atas nama isteri.
Setiausaha Agung MTUC, J Solomon sebaliknya menggesa kerajaan mempertimbangkan kebajikan suami yang merupakan pencari nafkah tunggal dan berpendapatan rendah.
“Kerajaan perlu mengkaji justifikasi supaya tidak membebani suami, terutamanya dengan upah semasa golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) dan pertengahan (M40),” katanya.
Kerajaan baru-baru ini mencadangkan kadar caruman KWSP untuk suri rumah melibatkan 2 peratus daripada gaji suami dan RM50 daripada dana kerajaan. Caruman KWSP untuk suri rumah merupakan antara janji kerajaan Pakatan Harapan yang mahu dilaksanakan dalam tempoh 100 selepas mentadbir negara.