SIBU: Seorang pemuda menemui ajal selepas dilanggar oleh sebuah kereta di Jalan Sibu-Durin di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.20 malam itu, mangsa, Joschua Kaloi, 21, disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan akibat kecederaan parah pada anggota badannya.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Supt, Alexson Naga Chabu berkata, sebelum kejadian mangsa yang menunggang motosikal seorang diri dikatakan sedang dalam perjalanan dari arah Durin ke Sibu Jaya di sini.
Bagaimanapun katanya, sebaik tiba di lokasi kemalangan, sebuah kereta Toyota Vios kemudian dikatakan tiba-tiba merempuh motosikal mangsa.
“Impak rempuhan itu mengakibatkan mangsa tercampak dari motosikalnya lalu mengalami kecederaan parah.
“Pemandu kereta tersebut pula dipercayai melarikan diri selepas kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Alexson menambah, pihaknya masih mengesan pemilik atau pemandu kereta itu untuk siasatanl anjut.
Katanya, buat masa ini belum ada sebarang tangkapan dilakukan.“Mayat mangsa sudah dibawa ke hospital untukdibedah siasat.“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya lagi. — DayakDaily