KUCHING: Polis menahan pemilik akaun Facebook ‘Kenedy Morie’ bagi membantu siasatan berhubung penyebaran satu klip video yang tular melibatkan seorang wanita ditikam dan dipenggal kepalanya oleh lelaki bertopeng dalam media sosial.
Ketua Siasatan Jenayah Sarawak SAC Dato Dev Kumar berkata, suspek ditahan oleh sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Simunjan diketuai oleh Insp Norliana Md Faizal pada jam 1.05 petang tadi.
Menurutnya, suspek yang bekerja sebagai petani berusia 21 tahun telah ditahan dirumahnya di Rumah Jerugo Kampung Sagu Sebuyau.
“Suspek akan dibawa ke IPD Sri Aman bagi menjalani siasatan selanjutnya.” katanya dalam satu kenyataan kepada media disini sebentar tadi.
Polis juga turut merampas telefon bimbit milik suspek yang dipercayai digunakan untuk membuat penyebaran berita palsu berkenaan yang dikaitkan dengan penemuan kepala tanpa badan di Skait Sri Aman baru-baru ini.-Sarawakiana