MARUDI: Dua lelaki dan seorang wanita terbayang hukuman mati selepas sepasukan anggota siasatan jenayah narkotik negeri, menemui dadah syabu seberat 62.7 gram dalam simpanan mereka di Long Lama, petang semalam.
Ketua Siasatan Jenayah Narkotik Negeri, Superintendan Sahar Abdul Latif ketika mengesahkan tangkapan berkata, suspek ditangkap dalam satu serbuan terhadap sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Kayan di sini.
“Serbuan dilakukan setelah kita mendapat maklumat awam dan ketiga-tiga suspek berada di rumah tersebut ketika itu.
Pemeriksaan badan ketiga-tiga suspek katanya, bagaimanapun gagal menemui barang salah namun pemeriksaan lanjut di atas almari baju di bilik tidur menjumpai satu bekas kontena tupperware, yang di dalamnya mengandungi sejumlah 30 paket plastik lut sinar berisi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu.
Saringan awal air kencing telah dilakukan dan dua suspek lelaki didapati positif dadah jenis Methaphetamine.
“Berat kasar dadah yang dijumpai adalah 62.7gram, yang mempunyai nilai pasaran RM9 ribu.
Sahar berkata, dua suspek lelaki berusia 43 tahun dan suspek wanita Cina berusia 30 tahun itu kemudian ditahan dan disiasat dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Sabit kesalahan boleh menyebabkan ketiga-tiganya berhadapan hukuman mati,” jelasnya lagi. –Sarawakvoice