SIMUNJAN: Merajuk selepas dimarahi kerana mandi kolam menyebabkan empat kanak-kanak berusia 10 hingga 14 tahun melarikan diri dari rumah semalam, dipercayai menuju ke hutan berhampiran.
Cemas akan kehilangan mereka, ibu bapa masing-masing kanak-kanak ini kemudian membuat laporan polis, yang kemudian memanjangkannya kepada pihak bomba.
Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima laporan kecemasan sekitar jam 8.23 pagi tadi daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Simunjan.
“Balai Bomba dan Penyelamat Simunjan kemudian mengatur gerak sebuah Toyota Hilux dan tiga anggota menuju ke lokasi di Kampung Telagus di sini, untuk mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Siasatan awal mendapati keempat-empat mereka menghilangkan diri sejak semalam selepas dimarahi keluarga kerana mandi kolam.
Ketika operasi sedang berlangsung, kata Ling Hii, seorang penduduk yang bekerja di kilang sawit berdekatan telah menghubungi salah seorang ibu mangsa dan memberitahu kesemua mereka selamat dan telah bermalam di kuarters pekerja di situ.
“Mereka bermalam di salah sebuah rumah mangsa, yang ibunya bekerja di kilang berkenaan yang terletak di jalan utama, kira-kira 12 kilometer dari kampung tersebut.
“Sejurus menerima maklumat, masing-masing ibu bapa kemudian menjemput anak mereka pulang dan kesemua mangsa disahkan selamat.
Operasi SAR yang dimulakan pada jam 8.30 pagi sebelumnya, dengan dianggotai sepuluh anggota kemudian ditamatkan pada jam 12.30 tengah hari tadi, katanya lagi. –Sarawakvoice