BR1M bukan untuk beli undi – Najib 0 5640

PEKAN: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkongsi asal usul pembayaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) berikutan terdapat pelbagai tohmahan daripada pihak pembangkang termasuk bertujuan membeli undi.

Bercakap di hadapan kira-kira 2,000 penerima, beliau berkata bantuan itu dicadangkan oleh Bank Negara Malaysia yang bukan bersifat kepartian politik dalam usaha membolehkan kaedah subsidi bersasar dilakukan.

“Subsidi ini (bersasar) adalah lebih baik daripada subsidi pukal yang banyak ketirisan. Sebagai contoh, mungkin mereka yang menerima subsidi ini menjualnya di sempadan.

“Keduanya, orang yang sepatutnya menerima subsidi secara relatifnya mendapat kurang berbanding orang yang tinggi kemampuan, contohnya Petrol RON95, orang berkereta besar mendapat manfaat lebih daripada mereka yang memandu Proton Saga atau Myvi,” katanya pada majlis pelancaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) peringkat kebangsaan di Dewan Konvensyen Sultan Ahmad Shah di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Lantaran itu, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata bagi kerajaan, sudah sampai masanya untuk membuat perubahan dasar yang memberi manfaat besar kepada rakyat melalui pemberian BR1M.

Justeru, katanya BR1M dilaksanakan pada tahun 2012 dengan bantuan sebanyak RM500 yang memanfaatkan hampir 4.1 juta penerima sebelum dinaikkan kepada RM1,000 pada 2016 dan RM1,200 pada 2017.

“Janji kita lima tahun dahulu dalam manifesto Barisan Nasional (BN), kita akan naikkan BR1M kepada RM1,200 dan dalam jangka masa ini, janji telah ditepati. Kita tidak akan membuat janji kalau kita fikir tidak boleh ditunaikan.

“Saya takkan keluarkan kenyataan bahawa sesuatu manifesto itu kita kaji semula – ada orang buat kenyataan bukan nak tepati, nak kaji semula 60 peratus daripada manifesto. Apa guna manifesto yang mana janji kita takkan tunaikan,” kata perdana menteri.

Beliau berkata sehingga hari ini, kerajaan BN berjaya menunaikan 97.6 peratus janji dalam manifesto pada PRU lepas.

Najib berkata BR1M yang menjadi antara pertanyaan popular pengguna media sosial setiap kali beliau memuat naik pelbagai status di Facebook dan Twitter miliknya turut membantu merangsang ekonomi negara.

“Apabila sahaja kita dapat BR1M, kita gunakan untuk membeli barang-barang asas seperti beras, gula, susu dan pakaian sekolah, ini merangsang ekonomi domestik,” katanya.

Beliau turut menempelak pihak yang hanya pandai mengkritik pemberian BR1M tetapi tidak memberi sebarang cadangan berhubung kaedah lebih baik dalam menyampaikan subsidi.

Katanya pihaknya bersedia menimbang sebarang cadangan untuk dilaksanakan demi kepentingan rakyat dan negara.

“Kalau nak kata dedak atau ‘cash is king’, ini mengarut sebab zaman dia dahulu tidak buat, kita kerajaan yang prihatin terhadap kebajikan rakyat,” jelasnya.

Pengagihan BR1M 2018 yang melibatkan peruntukan sebanyak RM6.3 bilion untuk kira-kira tujuh juta penerima di seluruh negara akan dilakukan dalam tiga fasa.

Bayaran pertama BR1M akan dibayar mulai esok, manakala fasa kedua dan ketiga bakal dibuat pada Jun dan Ogos ini.– BERNAMA

Spread the news
Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Pelitup muka bukan sisa domestik 0 15227

Pelitup muka bukan sisa domestik

CABARAN pandemik COVID-19 belum tamat. Sehingga kini, lebih 51 juta penduduk dunia dijangkiti virus dengan lebih 1.27 juta kematian.

Bagi membendung penularan, kita sentiasa diingatkan kepentingan mematuhi prosedur operasi standard (SOP). Ini termasuk mengamalkan penjarakan fizikal, kerap membasuh tangan, mengelak tempat sesak dan memakai pelitup muka.

Sememangnya SOP perlu dibudayakan sehingga menjadi kebiasaan baharu. Bagaimanapun, amalan pemakaian pelitup muka menjadi perhatian dan kebimbangan aktivis alam sekitar serta penyelidik.

Sebelum ini, pemakaian pelitup muka terutama daripada jenis surgikal hanya diamalkan petugas kesihatan di hospital dan klinik. Ia SOP biasa bagi mengelak jangkitan dengan pesakit dirawat. – Berita Harian

Spread the news

Besarnya ‘sang bedal’ 😱😱😱 0 8396

Besarnya ‘sang bedal’ 😱😱😱

Limbang: Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Limbang memindahkan buaya seberat 800 kilogram sepanjang lima meter yang ditangkap di parit di Taman Perumahan St Edmund Limbang, di sini, semalam, ke kawasan selamat pagi hari ini.

BBP Limbang dalam kenyataannya berkata, sekitar 11 malam, reptilia itu ditemukan tersesat di dalam parit di kawasan perumahan itu menyebabkan kegelisahan penduduk di situ.

Justeru, katanya, sepasukan bomba dikerah ke lokasi membantu bagi menangkap serta mengikat buaya berkenaan di parit berdekatan kawasan perumahan berkenaan.

“Hari ini, bomba dengan bantuan Sarawak Forestry Corporation (SFC) ke lokasi menjalankan khidmat khas pada 8.25 pagi untuk memindahkan buaya itu.

“Pasukan bomba dengan bantuan tujuh anggota SFC mengambil masa hampir satu jam mengangkat buaya tembaga itu ke darat dengan menggunakanΒ forklift,” katanya, hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, buaya diletakkan dalam kenderaan khas kemudiannya diserahkan kepada SFC untuk dihantar ke lokasi penyimpanan SFC di Kubong. – Harian Metro

Spread the news