SIBU: Seorang wanita maut selepas kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya hilang kawalan sebelum menjunam ke dalam parit dan terbalik.
Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 4.22 petang.
“Sekumpulan sembilan anggota menaiki sebuah jentera Scania dan ambulans EMRS kemudian dikejarkan ke lokasi di Batu 8, Jalan Tunku Abdul Rahman, di sini.
“Tiba di lokasi sekitar jam 4.40 petang, pasukan mendapati kemalangan melibatkan kenderaan Mitsubishi Triton yang berada dalam keadaan terbalik di dalam parit yang penuh dengan takungan air.
Katanya, memandangkan cuaca ketika kejadian adalah hujan lebat, hanya bahagian tayar sahaja yang kelihatan.
“Pasukan penyelamat kemudian berjaya menstabilkan kenderaan menggunakan ‘winch’ jentera dan mangsa didapati masih terperangkap di dalam kenderaan.
“Mangsa berjaya dikeluarkan lima minit kemudian, namun telah disahkan meninggal dunia dipercayai akibat lemas.
Mayat mangsa tambahnya, kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Identiti mangsa kemudian dikenal pasti sebagai Flora Nuing, 34 tahun dari Pearl Avenue Phase 2, Sibujaya. –Sarawakvoice