SELANGAU: “Kami terabai! Tanpa bantuan, tanpa makanan, tanpa penempatan teratur malah terdedah kepada bahaya penyakit,” itu luahan penghuni empat rumah panjang Selangau hari ini apabila kawasan kediaman mereka terus ditenggelami banjir.
Sebanyak 417 penduduk, yang menghuni 82 pintu ini terputus hubungan sejak hari pertama banjir, dan mereka sepi daripada khabar bantuan.
Rumah panjang terbabit ialah Rumah Bagul dengan 12 pintu dan 75 penghuni; Rumah Lium 15 pintu (87 penghuni); Rumah Chuat 30 pintu (135 penghuni) dan Rumah Jampi 25 pintu (120 penghuni).
Atlas Uju, yang mewakili penduduk terjejas memberitahu, sejak hari pertama banjir hingga ke hari ini, mereka langsung tidak menerima sebarang bantuan makanan.
Atlas malah mengirim foto sebagai bukti betapa teruknya tragedi yang melanda mereka.
“Semua mangsa masih berada di rumah. Tiada jalan keluar walaupun rumah dinaiki air.
“Tiada penghuni menumpang di SK Iban Union yang terletak di kawasan yang agak tinggi kerana tiada bantuan yang datang,” katanya yang sebelum ini turut membawa keluarga pindah ke sekolah berkenaan
Tanah dan jalan runtuh di kawasan tinggi katanya, menjadikan keadaan bertambah buruk.
“Jalan ke kawasan kami masih tenggelam. Jalan itu menambah sengsara kami yang tiada bantuan kemanusiaan, lojistik mahupun makanan.
Sementara itu, Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri ketika dihubungi sebentar tadi, memaklumkan mereka ada menerima maklumat akan insiden tersebut.
“Kita telah mengerahkan bantuan segera, dan difahamkan kit bantuan makanan telah diterima mangsa pada lewat petang tadi,” kata jurucakapnya, Ismail Mahedin.
Jelasnya lagi, hasil lawatan segera Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas ke kawasan bencana di Selangau, empat bot milik Angkatan Tentera Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam kini diatur gerak serta merta ke Selangau dari Kuching. — Sarawakvoice