KUCHING: Tiga sekawan yang sedang minum di sebuah medan selera di Pusat Komersial Kuching City Mall di Batu 4 1/2 di sini awal pagi tadi cedera selepas ditembak oleh seorang lelaki yang bersenjatakan senapang patah.
Ketua Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Dev Kumar ketika mengesahkan kejadian berkata, suspek bergegas melarikan diri dengan menaiki kereta Proton Waja berwarna perak selepas melepaskan tembakan.
“Mangsa yang cedera ialah penarik kereta berusia 47 tahun yang terkena tembakan di perut dan kakinya.
“Dua lagi mangsa ialah jurujual berusia 42 tahun yang cedera di kaki kanan dan seorang lagi penarik kereta berusia 30 tahun, yang cedera di kaki kirinya.
“Ketiga-tiga sekawan ini kemudian segera dikejarkan ke Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Umum Sarawak.
Kata Dev, siasatan awal mendedahkan suspek mengenali mangsa-mangsa ini dan telah bertelingkah dengan mereka sebelumnya.
“Suspek sebelum itu bergaduh dengan teman wanitanya di asrama pekerja, sebelum diminta oleh penyelia asrama dan ketiga-tiga mangsa agar tidak mencetus masalah dan pergi dari situ.
Tegas Dev, kejadian ini adalah terpencil dan tidak melibatkan kumpulan kongsi gelap.
“Orang ramai tidak perlu khuatir kerana identiti suspek telah diketahui dan kami sedang menjejakinya.
“Suspek dikenal pasti sebagai Patrick Buddy Siam (gambar), 30 tahun, dari Rumah Antas, Skrang, Sri Aman.
“Kita sedang memburunya untuk membantu siasatan dan sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai keberadaannya diminta menghubungi balai polis terdekat.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Aidil Bolhassan memaklumkan proses pemburuan sedang berlangsung manakala kesemua mangsa dilaporkan stabil. — Sarawakvoice