KOTA SAMARAHAN: Empat tahun selepas terlibat dalam kemalangan yang mengorbankan dua rakannya, seorang pelajar lelaki Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) ditemui mati di kediamannya di Flat Vista Ilmu di sini, pada Khamis.
Penemuan mayat tersebut disahkan oleh Ketua Polis Samarahan, Deputi Superintendan Lee Ching Chern, setelah pihak polis bertindak memecah bilik mangsa, setelah polis menerima aduan rakannya, dia tidak keluar bilik selama dua hari.
“Sejurus menerima laporan, sepasukan anggota daripada Balai Polis Kota Samarahan bergerak ke lokasi sebelum memecah pintu bilik.
“Mangsa ditemui terlentang di atas katil dan fizikalnya sudah berbau busuk.
Ching Chern memberitahu, siasatan awal mendapati tidak ada kesan kecederaan atau unsur-unsur jenayah pada badan mangsa manakala barang-barang peribadi berupa telefon bimbit, dompet serta wang tunai dan kunci kereta berada di dalam bilik si mati.
“Mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Umum Sarawak untuk proses bedah siasat.
Katanya lagi, keluarga mangsa dari Bintulu telah tampil untuk membantu siasatan dan mengecam mayat mangsa, yang dikenal pasti sebagai Khairul Azfar Nuruddin, 24 tahun, pelajar tahun 5, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, Unimas.
Rakan serumah mangsa, Ameerul Roslan berkata, mangsa tidak keluar bilik sejak balik dari Bintulu pada minggu ulang kaji.
Kali terakhir dia melihat mangsa adalah pada malam 31 Disember lalu, semasa mengambil beliau dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.
“Setibanya ke rumah, mangsa terus tidur dan tidak menampakkan sebarang tanda- tanda mencurigakan.
“Pada pagi Khamis, saya berasa pelik dan baharu perasan bahawa bilik mangsa sentiasa berkunci sejak dua hari yang lepas, dan barang-barang peribadi seperti laptop yang diletakkan di ruang tamu rumah tidak terusik.
“Arwah (mangsa) kebiasaannya selalu mengajaknya kami keluar pergi makan bersama.
“Tetapi memandangkan minggu ini adalah minggu peperiksaan dan masa jadual peperiksaan adalah berbeza, kami tidak bersama.
Dalam kemalangan sekitar jam 6.50 pagi, empat tahun lepas, mangsa dan seorang lagi rakannya parah manakala dua yang lain maut selepas Proton Satria yang dinaiki mereka melanggar tembok jambatan di Kilometer 54, Jalan Kuching-Serian.
Dipercayai berpunca daripada hilang kawalan, mereka yang maut ialah Abu Hanifah Abdul Jalil, 20 dari Taman Bukit Orang, Bintulu dan Mohd Hazif Waslee, 20 dari Taman Chin Lee, Bintulu. — Sarawakvoice