KUCHING – Seorang guru wanita kerugian sebanyak RM39,574 selepas terpedaya dengan seorang lelaki dari Amerika Syarikat yang mahu memberinya hadiah.
Mangsa yang berusia 47 tahun berkenalan dengan Fred Stevens William Fernando yang menyamar sebagai askar pertengahan bulan lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Sarawak, Superintendan Mustafa Kamal Ghani Abdullah berkata, kejadian berlaku di antara 14 September hingga 2 Oktober lalu sebelum mangsa membuat laporan polis semalam selepas merasakan dirinya ditipu lelaki itu.
“Selepas seminggu berkenalan, suspek memberitahu mangsa bahawa dia akan mengirim barang kepadanya.
Mangsa kemudiannya membuat transaksi atas talian melalui akaun Maybank pada 24 September pukul 11.44 pagi ke akaun Emirates NBD suspek sebanyak RM2,306.15,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Tambahnya, mangsa membuat transaksi kedua secara atas talian pukul 10.16 pagi pada 27 September lalu ke akaun yang sama sebanyak RM5,667.30.
Katanya, mangsa yang semakin teruja untuk memiliki hadiah itu kemudiannya membuat pemindahan wang ke akaun yang sama sebanyak RM21,609.40 di Maybank Jalan Song pukul 5.30 petang, 1 Oktober lalu.
“Kali terakhir mangsa membuat transaksi atas talian ke akaun yang sama adalah pada pukul 5.30 petang, 2 Oktober lalu sebanyak RM9,991.24.,” ujarnya.
Bagaimanapun, beliau memberitahu, selepas membuat pembayaran, mangsa masih belum menerima barang yang dijanjikan.
Sementara itu kata Mustafa, JSJK Sarawak menerima empat lagi laporan berkaitan Macau Scam semalam namun semuanya tidak mengalami kerugian.
Jelasnya, empat laporan yang diterima itu melibatkan dua kes di Sibu, manakala selebihnya di Bintulu dan Miri. – K! ONLINE