Tahukah anda asal usul nama sebenar Sarawak tidak dapat dibuktikan secara saintifik dan mutlak. Bagaimanapun menurut beberapa pendapat sejarah asal usul nama Sarawak adalah seperti berikut:
1. Nama Sarawak berasal daripada nama Sungai Sarawak . Sungai Sarawak meliputi kawasan yang digelar sebagai “Sarawak Prosper” menganjur dari Pedalaman Kuching di Bau sehingga ke Samarahan.
2. Nama Sungai Sarawak adalah diambil dari nama sejenis galian batu bijih iaitu “serawak” yang mengandungi belerang dan antimoni. Ini bertepatan sekali dengan sejarahnya iaitu semasa Sarawak di bawah pemerintahan Kesultanan Brunei, wilayah Sarawak ketika itu kaya dengan antimoni.
3. Sempena Nama “Serah kepada Awak”
Pada abad ke-18, di bahagian hulu Sungai Sarawak terdapat kegiatan melombong antimoni oleh penduduk tempatan. Pada masa itu, kawasan tersebut dikuasai oleh pembesar tempatan. Apabila Brunei ingin menguasai kawasan itu, penduduk tempatan sangat mengalu-alukannya. Mereka sering menyebut perkataan “serah kepada awak”. Lama-kelamaan perkataan tersebut diringkaskan menjadi Sarawak. Nama Sarawak kemudiannya kekal sehingga kini.
4. Nama daripada Buah Nanas.
Di kawasan Batu Kawa terdapat banyak tanaman nanas. Nanas tersebut amat manis dan enak rasanya. Nanas ini dikenali sebagai “nanas Sarawak”. Oleh sebab kawasan ini banyak nanas Sarawak, maka nama kawasan ini dinamai “Sarawak” sempena nama nanas tersebut.