MIRI: Jambatan Long Lama RM67 juta sepanjang 523 meter dibiayai sepenuhnya Kerajaan Sarawak hampir 90 peratus siap.
Dengan siapnya jambatan tersebut pada hujung Mac tahun hadapan, pasti menjanjikan perubahan sosioekonomi kawasan Long Lama, serta memenuhi agenda utama Kerajaan Sarawak melaksanakan pembangunan luar bandar dan pedalaman serta pesisir negeri ini.
Jambatan ini akan menghubungkan pekan Long Lama dengan kawasan sekitarnya.
Ketika ini penduduk Long Lama bergantung kepada khidmat feri untuk menyeberang Sungai Baram.
Menteri Muda Jalan Pesisir Datuk Julaihi Narawi berkata menjadi impian kerajaan negeri menghubungkan semua kawasan pedalaman di negeri ini dengan jalan raya.
Menurut beliau, selepas meninjau perkembangan projek ini, Long Lama berhak mendapatkan jalan raya ini yang memberi manfaat kepada lebih 37,000 penduduknya.
Bahkan, penduduk luar khususnya di sekitar Miri khususnya mudah bertandang ke Long Lama. –Sarawakvoice