SIBU: Seorang penunggang motosikal maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Bahagia Jaya, Teku, malam Rabu.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata mangsa yang berusia 36 tahun dikenali sebagai Mohammad Farzul Hussin dan berasal dari Lot 220 Jalan Burung Belibis, Kampung Bahagia Jaya, Teku.
Stanley berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 9.00 malam ketika mangsa menunggang menghala ke Sungai Merah dari arah Kampung Bahagia Jaya, Teku.
“Semasa kejadian (simpang), dipercayai mangsa melanggar sebuah kereta yang datang dari arah Sungai Merah dan sedang menuju ke Jalan Bahagia Selatan, Teku yang hendak membelok ke simpang kanan jalan.
“Mangsa terpelanting ke kanan jalan lalu melanggar sebuah lagi kenderaan dari arah Sungai Merah,” katanya.
Menurut Stanley, akibat perlanggaran tersebut mangsa maut di tempat kejadian dan mayat mangsa di bawa ke Hospital Sibu.
Katanya, seorang pemandu kereta berusia 21 tahun ditahan di bawah Seksyen 112 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana disyaki melakukan kesalahan dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Suspek dilepaskan dengan jaminan polis selepas diambil keterangan dan kes dalam siasatan. – Utusan Borneo Online