KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, kerajaan masih mempertimbangkan sama ada meneruskan keputusan memansuhkan hukuman mati mandatori atau sebaliknya.
Timbalan Perdana Menteri berkata, ini kerana kerajaan tidak mahu mana-mana orang yang tidak bersalah dikenakan hukuman mati mandatori.
Katanya, pada masa yang sama, kerajaan sebelum ini mahu memansuhkan hukuman mati mandatori kerana hukuman itu dilihat tidak menghalang mana-mana penjenayah melakukan kesalahan dan masih ada penjenayah melakukan kesalahan.
“Namun, ada orang yang melakukan kesalahan atau jenayah kejam yang tidak dapat kita fikirkan. (Untuk itu), kerana ia sudah berlaku maka ada hukuman dikenakan (hukuman mati mandatori) untuk menangani masalah itu,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Astro Junior Championships U15 di Stadium Juara di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian diminta mengulas desakan orang ramai dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) supaya hukuman mati mandatori tidak dimansuhkan bagi membolehkan penjenayah dikenakan hukuman setimpal berikutan kes bayi perempuan berusia 11 bulan maut dipercayai akibat didera suami pengasuhnya.
Berita kematian, Nur Muazara Ulfa Muhammad Zainal, viral di laman sosial seperti Facebook dan WhatsApp sehingga ada yang mendesak kerajaan supaya jangan memansuhkan hukuman mati.
Minggu lalu, ahli keluarga mangsa kes pembunuhan berprofil tinggi mendesak kerajaan tidak memansuhkan hukuman mati mandatori kerana ia didakwa tidak adil dan hanya akan menyumbang kepada peningkatan kes jenayah berat di negara ini.
Awal Oktober lalu, Kabinet memutuskan pelaksanaan hukuman mati mandatori bagi semua kesalahan akan dimansuhkan di negara ini dan susulan itu, semua pelaksanaan hukuman mati akan ditangguhkan sehingga pemansuhan itu berkuat kuasa.
Kabinet turut menimbang untuk mengenakan hukuman penjara minimum 30 tahun jika hukuman mati mandatori dimansuhkan.
Dr Wan Azizah berkata, kerajaan juga sedang menimbangkan langkah di ambil beberapa negara seperti Australia yang sudah pun memansuhkan hukuman berkenaan.
Katanya, dalam aspek yang lain, kerajaan tetap berpandangan supaya hukuman mati mandatori tidak menyebabkan orang yang tidak bersalah menerima hukuman. – Berita Harian Online