KUCHING: Seorang lelaki ditemui mati dalam keadaan tergantung di belakang kediaman keluarga di Kampung Tematu di sini, hari ini.
Mangsa berusia 33 tahun itu ditemui abangnya sekitar jam 7.20 pagi yang kemudian terus menghubungi pihak polis.
“Abang mangsa kemudian bergegas menurunkan mangsa serta membuka ikatan di lehernya sebelum menghubungi pihak polis,” kata sumber
Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas diperiksa anggota paramedik.
Ketua Polis Daerah Padawan, Superintenden Aidil Bolhassan yang mengesahkan kes itu memberitahu, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat.
Katanya, mangsa yang masih bujang dan bekerja di sebuah pejabat kerajaan merupakan anak bongsu daripada 12 adik beradik.
“Menurut keluarganya, sebelum ini mangsa dikatakan tiada mempunyai sebarang masalah. Bagaimanapun, dua tiga hari lepas, mangsa sentiasa termenung dan keluarganya tidak tahu punca mangsa sedemikian,” katanya.
Kali terakhir mangsa dilihat ialah selepas makan malam di rumah sekitar jam 8.30 malam sebelum dia keluar dari rumah. – Utusan Borneo Online