Allahyarham Tok Nan Dalam Kenangan 0 7005

Setahun berlalu semenjak “Apai Besai” iaitu mantan Ketua Menteri Sarawak ke-5, Allahyarham Pehin Sri Datuk Patinggi Haji Adenan bin Haji Satem meninggalkan kita semua.  Biar 12 purnama sudah berlalu namun sehingga ke hari ini kesedihan atas pemergian Allahyarham masih lagi terasa seolah-olah baru semalam ianya terjadi.  Begitulah besarnya impak yang ditinggalkan oleh Allahyarham biarpun pada hakikatnya tempoh perkhidmatan dirinya sebagai pemimpin no. 1 Sarawak tidak pun sampai sepenggal. 

Mana mungkin kami boleh melupakan segalanya mengenai Allahyarham kerana beliaulah pemimpin yang paling dekat di hati rakyat Sarawak.  Jenakanya yang bersahaja tetapi penuh makna masih lagi bermain-main di kotak fikiran dari dahulu sehingga sekarang. Ketiadaannya bersama-sama rakyat Sarawak memperjuangkan hak-hak Sarawak begitu dirasai walaupun pucuk pimpinan sudah berganti tetap Allahyarham menjadi rujukan yang utama di dalam memperkatakannya. 

Mengimbau cerita setahun lepas apabila menerima perkhabaran duka tentang kehilangan seorang pemimpin yang begitu dikasihi ini.  Selaksa rakyat  dari seluruh penjuru alam negeri Sarawak sehingga menyeberangi Laut China Selatan dan yang berada di luar negara berduka dan menangisi pemergiannya. Satu pemergian langsung tidak dijangka sehingga menyebabkan kami kelu lidah tanpa mampu berkata apa-apa atas apa yang terjadi pada ketika itu.

Di ketika hari terakhir Allahyarham di mukabumi menyaksikan rakyat tanpa mengira warna kulit, bangsa, agama dan budaya mahupun politik, kecil atau besar, miskin atau kaya meninggalkan rutin harian mereka dan menziarahi jenazahnya di Masjid Jamek tanpa perlu disuruh.  Bagi yang tidak tidak berkesempatan untuk “pulai menoa” pula mengadakan upacara-upacara keagamaan mengikut fahaman masing-masing bagi memberikan penghormatan untuk dirinya. 

Makamnya di Tanah Perkuburan Islam Samariang yang menjadi tempat persemadian kekal Allahyarham pula tidak putus-putus dikunjungi oleh rakyat Sarawak, para selebriti Malaysia serta ramai lagi.  Malah dikatakan sehingga ke hari ini makamnya tidak pernah sepi daripada kunjungan hormat rakyat jelata dari seluruh pelusuk Malaysia. 

Begitulah aura seorang pemimpin yang sukar diganti bagi kami rakyat Sarawak.  Kehadirannya di pentas politik sebagai pemimpin no. 1 Sarawak cukup singkat tetapi masa bukanlah alahan kepada Allahyarham kerana begitu banyak yang sudah dilakukannya bagi mensejahterakan rakyat Sarawak pada ketika itu.  Budinya memang tidak mampu kami balas walau sampai bila-bila.   
 
Allahyarham Toknan adalah pemimpin satu di dalam sejuta bagi kami.  Nama Toknan sentiasa terpahat dihati kami semua sebagai ayah atau bapak atau apai untuk rakyat Sarawak pelbagai bangsa. Pesanan terakhirnya “Jaga Sarawak Menar-menar” sentiasa  menjadi azimat untuk kami semua menjaga Sarawak apa adanya.

Benar kata orang tua-tua, orang yang baik sentiasa Tuhan ambilkan dahulu untuk berada dekat denganNya.

Sesungguhnya rindu yang paling sarat ialah rindu pada insan yang sudah pergi selama-lamanya.  Kerana kami akur pada ketentuan Illahi bahawa setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati makanya rindu itu kami simpan dan tanam nun jauh di lubuk hati yang paling dalam dan hanya akan dibisikkan di dalam doa kami semua.

Semoga roh Allahyarham Toknan ditempatkan dikalangan para Ambiya dan Syuhada. Al-Fatihah. Amin Yarabal Alamin. -Borneo Oracle

Spread the news
Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Pelitup muka bukan sisa domestik 0 15389

Pelitup muka bukan sisa domestik

CABARAN pandemik COVID-19 belum tamat. Sehingga kini, lebih 51 juta penduduk dunia dijangkiti virus dengan lebih 1.27 juta kematian.

Bagi membendung penularan, kita sentiasa diingatkan kepentingan mematuhi prosedur operasi standard (SOP). Ini termasuk mengamalkan penjarakan fizikal, kerap membasuh tangan, mengelak tempat sesak dan memakai pelitup muka.

Sememangnya SOP perlu dibudayakan sehingga menjadi kebiasaan baharu. Bagaimanapun, amalan pemakaian pelitup muka menjadi perhatian dan kebimbangan aktivis alam sekitar serta penyelidik.

Sebelum ini, pemakaian pelitup muka terutama daripada jenis surgikal hanya diamalkan petugas kesihatan di hospital dan klinik. Ia SOP biasa bagi mengelak jangkitan dengan pesakit dirawat. – Berita Harian

Spread the news

Besarnya ‘sang bedal’ 😱😱😱 0 8417

Besarnya ‘sang bedal’ 😱😱😱

Limbang: Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Limbang memindahkan buaya seberat 800 kilogram sepanjang lima meter yang ditangkap di parit di Taman Perumahan St Edmund Limbang, di sini, semalam, ke kawasan selamat pagi hari ini.

BBP Limbang dalam kenyataannya berkata, sekitar 11 malam, reptilia itu ditemukan tersesat di dalam parit di kawasan perumahan itu menyebabkan kegelisahan penduduk di situ.

Justeru, katanya, sepasukan bomba dikerah ke lokasi membantu bagi menangkap serta mengikat buaya berkenaan di parit berdekatan kawasan perumahan berkenaan.

“Hari ini, bomba dengan bantuan Sarawak Forestry Corporation (SFC) ke lokasi menjalankan khidmat khas pada 8.25 pagi untuk memindahkan buaya itu.

“Pasukan bomba dengan bantuan tujuh anggota SFC mengambil masa hampir satu jam mengangkat buaya tembaga itu ke darat dengan menggunakanΒ forklift,” katanya, hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, buaya diletakkan dalam kenderaan khas kemudiannya diserahkan kepada SFC untuk dihantar ke lokasi penyimpanan SFC di Kubong. – Harian Metro

Spread the news