KUCHING: Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan Amaran Cuaca Waspada (Peringkat Kuning) selama tiga hari bermula hari ini untuk beberapa bahagian di Sarawak.
Menerusi kenyataan dikeluarkan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Meteorologi menjangkakan hujan lebat akan melanda Kuching, Samarahan, Serian, Betong, Sarikei, Sri Aman, Sibu, dan Mukah (Daerah Matu dan Daro) bermula Khamis hingga Sabtu ini.
“Sehubungan dengan itu, semua Bilik Operasi Bencana Bahagian bersedia untuk diaktifkan pada bila-bila masa sebagai tindakan kesiapsiagaan menghadapi bencana yang bakal berlaku terutamanya di kawasan yang berisiko tinggi seperti banjir dan tanah runtuh,” kata kenyataan tersebut, hari ini.
Bilik Gerakan Negeri juga dalam kesiapsiagan bersedia menerima maklumat bantuan pengurusan dan pengopersian bencana dari semasa ke semasa, dan ia boleh dihubungi di talian 082-443 991 / 446 991, nombor faksimili 082-442 730 dan e-mel [email protected].
Semua Pejabat Residen juga dimohon untuk memastikan pusat-pusat pemindahan dilengkapi dengan keperluan asas, dan Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) juga hendaklah memastikan aset-aset pengoperasian mencukupi dan berada dalam keadaan baik dan bersedia untuk digunakan. -Utusan Borneo Online