Anak Sarawak lakar nama di Hollywood 0 6429

Anak Sarawak lakar nama di Hollywood

KUALA LUMPUR: Laluan membina kerjaya di Hollywood amat sukar, namun penerbit muzik, Alvin Wee dapat membuktikan tiada perkara yang mustahil dalam hidup.

Siapa sangka, anak kelahiran Kuching, Sarawak yang kini berpangkalan di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) itu mampu terbang tinggi dan menempa kejayaan di Hollywood berbekalkan tekad yang tinggi.

Baru berusia 32 tahun, Alvin berjaya bekerjasama dengan ramai nama besar dan bergelar jurutera muzik bagi banyak filem ‘blockbuster’. Terbaru, filem Mulan.

“Tidak menafikan, persaingan di Los Angeles lebih sengit kerana mereka boleh menulis dan menerbit muzik dengan baik. Seperti yang anda lihat menerusi filem La La Land, penggiat seni berjuang dengan cara tersendiri.

“Bagaimanapun, dibesarkan sebagai anak Malaysia, saya sentiasa berusaha bersungguh-sungguh mendapatkan apa yang diingini. Bagi saya, tiada perkara mustahil dalam hidup, meskipun saya amat susah.

“Sekiranya saya boleh berjaya di Hollywood, saya pasti anak tempatan lain juga boleh menempa nama dalam industri seni terbesar di dunia ini,” katanya berkongsi pengalaman ketika ditemubual menerusi aplikasi Zoom di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), baru-baru ini.

Berikutan itu, Alvin berkata, dia mahu menjadi ‘jambatan’ kepada anak tempatan yang berbakat besar dalam dunia muzik untuk berjaya di peringkat antarabangsa.

“Saya percaya ramai pemuzik berbakat di Malaysia yang bekerja di balik tabir seperti komposer, jurutera, penerbit dan sebagainya.

“Jadi, saya mahu menjadi ‘jambatan’ bagi penggiat seni muzik dengan membantu mereka. Ini adalah ‘gol’ saya. Saya ingin memberitahu mereka, saya boleh buat. Apa yang dilakukan boleh memberi inspirasi untuk anak seni melakukan perkara sama. Saya mampu melakukannya, mengapa anda tidak?

“Pemuzik kita sama bagus seperti penggiat seni di Los Angeles, cuma mereka tidak mendapat peluang untuk pergi lebih jauh. Bagaimanapun, saya nampak ramai yang berani mencuba dan saya mahu lihat pembabitan lebih ramai lagi,” katanya kepada BH Online.

Alvin Wee menimba pengalaman dengan penyanyi terkenal antarabangsa, Bruno Mars, Katy Perry dan Snoop Dog sebelum menerokai bidang susunan muzik untuk filem.
Alvin Wee menimba pengalaman dengan penyanyi terkenal antarabangsa, Bruno Mars, Katy Perry dan Snoop Dog sebelum menerokai bidang susunan muzik untuk filem.

Berkongsi pengalaman awalnya, Alvin memulakan perjalanan dalam bidang susunan muzik di Los Angeles menerusi siri permainan video Jepun, Final Fantasy yang kemudiannya membuka jalan lebih luas.

Selepas itu, Alvin diberi kepercayaan bekerja untuk filem Kingsman 2: The Golden Circle; Kung Fu Panda 3; MEG, The Zookeeper’s Wife; Thirteen Hours: The Soldiers of Benghazi; Eddie the Eagle dan pelbagai filem blockbuster lagi.

Malah, Alvin juga pernah menghasilkan lagu bersama nama popular seperti Hans Zimmer, Pharrell Williams, Roberta Flack, Jay Chou, Jesse Carmichael dari kumpulan Maroon 5, Patrick Stump (Fall Out Boy), Tyson Ritter (American Rejects), Harry Gregson-Williams, Brad Wilk (Rage Against the Machines) dan ramai lagi.

Alvin berkata, dia juga seperti anak muda lain yang mulanya menjadikan bidang muzik sebagai minat.

“Saya bermula dengan menyertai banyak kumpulan hip hop di Kuching sebagai pemain gitar. Kemudian, saya menyambung pengajian dalam bidang muzik di Kolej Berklee di Boston. Ini kerana saya percaya perlukan ilmu untuk mendalami bidang muzik.

“Di situ, saya mula sedar minat berada dalam studio, mendalami ilmu rakaman dan penerbitan lagu semakin bercambah. Saya dapat bekerja dengan ramai produser muzik yang bagus. Pada akhir tahun pengajian, saya diberi peluang terbabit dalam menghasilkan lagu bagi siri permainan video Jepun, Final Fantasy.

“Saya berpindah ke Los Angeles untuk mencari pengalaman lebih jauh dalam bidang muzik. Saya berpendapat boleh pulang ke Kuala Lumpur dan memulakan kerjaya selepas setahun saya belajar, namun saya diberikan rezeki dan peluang satu demi satu peluang ke kota syurga dunia ini,” katanya.

Mula menetap di Los Angeles pada 2013, Alvin berkata, dia diberikan kepercayaan menerbitkan muzik oleh penggiat seni yang berpengalaman dalam industri muzik.

“Pada tahun pertama, saya mendapat pekerjaan sebagai pembantu penerbit muzik yang juga pemain piano. Beliau menggilap bakat ramai pemuzik, membantu merakamkan album pertama dan menaikkan nama.

“Ketika itulah, saya bertemu dengan penyanyi Hollywood terkenal seperti Bruno Mars, Katy Perry dan Snoop Dog. Saya banyak belajar daripada mereka. Kemudian, saya bekerja dengan penerbit yang lain. Saya meneroka bidang penyusunan muzik untuk filem.

“Saya mula belajar mengenai pembikinan muzik untuk filem dan bekerja untuk filem Kingsman 2, Kung Fu Panda 3 dan banyak lagi. Seterusnya, saya diberi kepercayaan menyusun muzik untuk sebuah filem terbitan Pharell Williams yang juga lagu ditulis olehnya. Filem berjudul Dope itu ditayangkan di Festival Filem Sundance pada 2015,” katanya.

Alvin Wee (dua dari kanan) bersama pasukan produksi filem Mulan.
Alvin Wee (dua dari kanan) bersama pasukan produksi filem Mulan.

Kongsi Alvin, filem itulah menjadi titik permulaan bagi perjalanannya sebagai penerbit muzik di Hollywood.

Tidak hanya berkarya untuk industri Hollywood, Alvin berkata, dia pernah bekerjasama dengan beberapa penyanyi tempatan seperti Zee Avi, Yuna, Jaclyn Victor dan ramai lagi.

Antara karya adalah lagu Arena Cahaya, hasil nukilan penyanyi Zee Avi dan komposer Rendra Zawai bagi filem Ola Bola. Tidak hanya filem mencatat kejayaan, lagu itu turut memenangi beberapa anugerah termasuk anugerah Lagu Tema Terbaik, Golden Horse Film Festival pada 2016.

Terbaru, Alvin turut menerbitkan lagu Malaysiaku yang dinyanyikan Dayang Nurfaizah, Hael Husaini dan Adira Suhaimi.

Selain itu, Alvin turut bekerjasama dalam menghasilkan lagu Together We Rise bersama komposer Rendra Zawawi dan penyanyi yang juga penulis lirik, Leah Dennis. Lagu berkenaan dinyanyikan Jaclyn Victor dan Vince Chong sebagai tema bagi acara penutupan Sukan SEA Ke-28 yang diadakan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Mahu lebih banyak bekerjasama dengan pemuzik tempatan, Alvin turut meluahkan hasratnya untuk bekerjasama dengan penyanyi seperti Sassy Don dan Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Sementara itu, berkongsi kehidupan peribadinya, Alvin gembira menyatakan baru sahaja mendirikan rumah tangga.

“Saya berkahwin ketika pandemik COVID-19. Isteri, warga Kanada dan pernah ke Malaysia beberapa kali. Kami bertemu ketika belajar dan menjejaki Hollywood bersama-sama. Dia adalah seorang penyunting muzik dan pernah bekerja untuk filem seperti Minions, Angry Birds, siri televisyen dan banyak lagi.

“Kami banyak menulis lagu bersama dan menerbitkannya, jadi saya rasa kami mempunyai persefahaman yang membuatkan hati saya mahu melamarnya sebagai isteri,” katanya.- Berita Harian

Spread the news
Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Pelitup muka bukan sisa domestik 0 13442

Pelitup muka bukan sisa domestik

CABARAN pandemik COVID-19 belum tamat. Sehingga kini, lebih 51 juta penduduk dunia dijangkiti virus dengan lebih 1.27 juta kematian.

Bagi membendung penularan, kita sentiasa diingatkan kepentingan mematuhi prosedur operasi standard (SOP). Ini termasuk mengamalkan penjarakan fizikal, kerap membasuh tangan, mengelak tempat sesak dan memakai pelitup muka.

Sememangnya SOP perlu dibudayakan sehingga menjadi kebiasaan baharu. Bagaimanapun, amalan pemakaian pelitup muka menjadi perhatian dan kebimbangan aktivis alam sekitar serta penyelidik.

Sebelum ini, pemakaian pelitup muka terutama daripada jenis surgikal hanya diamalkan petugas kesihatan di hospital dan klinik. Ia SOP biasa bagi mengelak jangkitan dengan pesakit dirawat. – Berita Harian

Spread the news

Besarnya ‘sang bedal’ 😱😱😱 0 8134

Besarnya ‘sang bedal’ 😱😱😱

Limbang: Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Limbang memindahkan buaya seberat 800 kilogram sepanjang lima meter yang ditangkap di parit di Taman Perumahan St Edmund Limbang, di sini, semalam, ke kawasan selamat pagi hari ini.

BBP Limbang dalam kenyataannya berkata, sekitar 11 malam, reptilia itu ditemukan tersesat di dalam parit di kawasan perumahan itu menyebabkan kegelisahan penduduk di situ.

Justeru, katanya, sepasukan bomba dikerah ke lokasi membantu bagi menangkap serta mengikat buaya berkenaan di parit berdekatan kawasan perumahan berkenaan.

“Hari ini, bomba dengan bantuan Sarawak Forestry Corporation (SFC) ke lokasi menjalankan khidmat khas pada 8.25 pagi untuk memindahkan buaya itu.

“Pasukan bomba dengan bantuan tujuh anggota SFC mengambil masa hampir satu jam mengangkat buaya tembaga itu ke darat dengan menggunakanΒ forklift,” katanya, hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, buaya diletakkan dalam kenderaan khas kemudiannya diserahkan kepada SFC untuk dihantar ke lokasi penyimpanan SFC di Kubong. – Harian Metro

Spread the news