MIRI: Pemilik seekor kucing terpaksa menahan kesedihan selepas haiwan peliharaannya mati dibaham seekor ular sawa dengan panjang dianggarkan lebih tiga kaki, petang semalam.
Bagaimanapun, ular yang kekenyangan tersebut berjaya ditangkap sepasukan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di sebuah rumah di Taman Siang Siang, Morsjaya di sini kira-kira jam 3 petang.
Pegawai APM Miri Kapten (PA) Mohd Hazle Shah Abd Hamid berkata keberadaan ular tersebut disedari oleh pengadu yang juga pemilik kucing tersebut apabila melihat seekor ular menyusur di celah-celah pokok bunga. “Pengadu yang terperanjat melihat ular tersebut berada di halaman rumahnya menyebabkan beliau menghubungi APM bagi mendapatkan bantuan.
“Tiga anggota APM diketuai Prebet (PA) Robert Joanes telah berjaya menangkap ular tersebut yang baharu sahaja menelan seekor kucing pengadu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. Katanya ular itu dibawa ke Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Miri dan disimpan dalamsangkar yang disediakan. – Utusan Borneo Online